Pas Pilih MB Kerana Bimbang Pengaruh Raja Mohamed Affandi Di Kemaman

KEMAMAN, 27 Nov – Pas sengaja menukar calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dan memilih Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar disebabkan melihat calon Barisan Nasional (BN) yang diketengah mempunyai potensi dan pengaruh tersendiri di kawasan ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ianya sedikit sebanyak memperlihatkan kegusaran Pas sehingga terpaksa meletakkan Menteri Besar Terengganu itu bagi memanfaatkan kedudukan dan jawatan tersebut.

“Kita tahu Menteri Besar mempunyai kelebihan dibandingkan dengan calon lain, kerana Menteri Besar ini ada jawatan dan ini adalah tektik mereka.

“… kerana calon kita ini sangat baik mempunyai semangat juang yang tinggi dan sangat ingin berkhidmat kepada rakyat.

“Kalau mereka tersilap letak calon kita mungkin akan menang mudah tapi walaupun mereka meletakkan Menteri Besar tetapi ianya tidak pun menjejaskan semangat kita untuk terus berjuang untuk memastikan calon BN akan menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas program ramah mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi Kuala Kemaman di Chukai.

Untuk rekod, Pas sebelum ini memaklumkan bahawa akan mengekalkan penyandang, Che Alias Hamid yang memenangi kerusi ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu namun bertindak mengantikan dengan Dr Ahmad Samsuri.

Dalam pada itu Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menempelak kenyataan pemimpin Pas yang mengaitkan bahawa UMNO/BN ketandusan calon sehingga terpaksa meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.

Jelas beliau, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada strategi BN untuk melakukan pembaharuan pada PRK ini.

“Itu strategi kita memang ada calon daripada AJK Bahagian Kemaman yang ada potensi tetapi ketika ini sesuai dengan calon yang kita letakkan ini kerana rasakan ada kelebihan yang rasa boleh menang,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan pelaksanaan gerak kerja kempen di Kemaman ini beliau berkata jentera parti melaksanakan tugasan mereka dengan baik terutam dalam mendekati pengundi.

“Semangat jentera parti cukup tinggi diharap mereka dapat mengekalkan momentum ini sehingga 2 Dis dan harapan saya dari Pahang supaya pengundi akan menyokong dan mengundi calon daripada BN.

“Saya sangat optimis dan yakin bahawa kita akan buat kejutan kerana trek tekod BN mengurus dan mentadbir negeri ini jauh lebih baik daripada kerajaan yang ada pada hari ini, “ ujar beliau.

Untuk rekod PRK Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.