MB Jadikan Kemaman Tempat Persinggahan? Itupun Kalau Sempat… Takut Hanya ‘Bye Bye, TouchNgo’

KEMAMAN, 27 Nov – “Tempat singgah itu pun kalau dia sempat singgah… takut dia bye bye ta ta je la.. touch n go… sebab itu perlu kita pilih calon anak tempatan, itu yang penting.”

Demikian respon spontan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berhubung komitmen calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rhu Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mungkin hanya mampu singgah ke Kemaman jika diberi peluang menjadi ahli Parlimen di kawasan itu.

Disebabkan itu ujar Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, calon yang paling layak mewakili rakyat Kemaman adalah calon BN iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kerana selain anak tempatan, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu juga sering turun dan fokus ke akar umbi.

Katanya, ini berbeza dengan calon pihak lawan yang pasti kurang fokus atas faktor banyak tanggungjawab yang perlu dipikul seperti mengurus negeri selain bukan orang Kemaman.

“Calon yang paling layak dalam PRK Kemaman ini ialah calon Barisan Nasional. Sebab turun serta fokus ke akar umbi. Sebagai seorang yang telah pencen daripada pentadbiran awam kerajaan, beliau akan fokus kepada kawasan sekiranya menang.

“Dan kita tengok sendiri bagaimana beliau menyantuni pengundi dan sebagainya berbanding calon yang lagi satu sudah semestinya banyak tanggungjawab lain yang tidak mampu untuk fokus. Selepas itu bukan orang tempatan.

“Mengapa hendak pilih calon lain sedangkan kita ada calon tempatan yang lebih baik, lebih hebat, yang boleh membawa, memimpin dan boleh menjadi suara kepada pengundi-pengundi Kemaman,” katanya kepada UMNO Online.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia ditemui selepas program ziarah rumah ke rumah di Kampung Seberang Tayur, Air Putih di sini.

Berhubung dengan gerak kerja dalam PRK Kemaman ini, Noraini berkata Wanita UMNO seperti kebiasaan kempen rumah ke rumah.

“Wanita UMNO seperti kebiasaannya bergerak dari rumah ke rumah untuk merayu undi bersama wanita tempatan, negeri-negeri angkat.

“Saban hari mereka sentiasa keluar untuk mencari pengundi-pengundi agar pengundi-pengundi dapat membantu Barisan Nasional dengan mengundi calon Barisan Nasional pada 2 Dis nanti,” ujarnya.

Begitu juga penglibatan daripada rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang turut turun membantu dan semakin jelas keserasian dalam gerak kerja.

Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.