Satu Kerugian Jika Rakyat Tidak Pilih Raja Mohamed Affandi, Fokusnya Hanya Di Kemaman

KEMAMAN, 26 Nov – Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan apabila menampilkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Raja Affandi sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berpandangan adalah amat rugi jika rakyat Kemaman tidak memilih Raja Mohamed Affandi yang terbukti selain berpengalaman mentadbir di peringkat negara, berjiwa rakyat dan sudah pasti fokus di kawasan sahaja.

“Amat rugi di Kemaman ini jika tidak pilih orang yang ada pengalaman di peringkat negara dan berjiwa rakyat mahu membantu masyarakat dan pengundi di Kemaman supaya dapat perubahan baru.

“Dengan perwatakan dan profesionnya yang lama, ia boleh mendekatkan lagi pimpinan negeri dan pusat. Ini yang kita rasa boleh memberi satu impak yang besar kepada pengundi supaya berubah, pilih pemimpin yang fokus kepada kawasan,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Pandak ditemui selepas sesi taqarrub dan menyantuni rakyat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Bandar Baru Bukit Mentok di sini.

Jelasnya, sebalikanya berbeza berbanding calon Pas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang pasti kurang fokus atas kesibukan menguruskan negeri dan pelbagai lagi hal ehwal Parlimen.

“Kalau Menteri Besar Terengganu sudah sibuk memerintah negeri bagaimana hendak fokuskan Parlimen dengan mesyuarat Parlimen, mesyuarat negeri dan sebagainya yang akan mengurangkan fokus.

“Inilah masanya orang Kemaman berubah tak kira masyarakat yang berparti atau tidak berparti, berilah sokongan kepada Tan Sri Raja Mohamed Affandi sebagai calon wakili Parlimen Kemaman ini,” katanya.

Berhubung dengan pelbagai tohmahan pihak lawan atas kredibiliti Raja Mohamed Affandi, Pandak berkata ia satu tindakan provokasi semata-mata.

“Itu satu tuduhan dan provokasi mahu merendahkan kewibawaan Tan Sri Raja Mohamed Affandi ini. Kerana kita lihat beliau Panglima Angkatan Tentera sudah tentu ada hubungan luar, bagaimana hendak mentadbir, kejayaan beliau semasa di Mindef (Kementerian Pertahanan) dan saya rasa itu tidak boleh digunapakai di sini.

“Yang penting ia dapat merapatkan lagi hubungan di peringkat negeri ke pusat setelah beliau menjadi ahli Parlimen dan mudah pimpinan di pusat, perdana menteri dan menteri-menteri sudah kenal dengan Tan Sri Raja Mohamed Affandi ini. Jadi tohmahan itu kita tolak tepilah. Saja nak provok supaya rakyat tidak mengundi Barisan Nasional,” tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri itu lagi.

Oleh sebab itu ujarnya, rakyat perlu menolak segala persepsi yang boleh merugikan mereka terutama isu peruntukan pembangunan.

“Ini persepsi yang boleh merugikan rakyat Kemaman. Kemaman hendakkan satu perubahan, zaman Barisan Nasional Kemaman sudah maju dan tadi saya dengar rintihan di Bandar Baru Mentok ini isu banjir tidak selesai.

“Inilah masanya kita hendak memilih pemimpin yang boleh membawa hasrat rakyat di Parlimen kerana peringkat pusat lebih besar lagi. Saya beri contoh di negeri Johor hampir selesai bila penempatan banjir diumumkan perdana menteri dan timbalan perdana menteri dengan memberi peruntukan yang besar,” katanya yang berkata hubungan baik antara negeri dan pusat banyak memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Sebagai rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara BN dan Pas. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.