Raja Mohamed Affandi Yakin Kempen Bersemuka, Media Sosial Dapat Reaksi Positif Rakyat

KEMAMAN, 26 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor semakin yakin kempennya mendapat sambutan yang positif serta memberangsangkan daripada rakyat kawasan itu.

Ujarnya, selain berkempen secara bersemuka, beliau turut aktif memaparkan segala aktiviti melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok supaya dapat menembusi kumpulan sasaran.

“Saya lihat kaedah berkempen agak berkesan kerana kempen (bersemuka) dan juga media sosial yang ada dapat menjadikan ini lebih menembusi, cerobosi pada pengundi-pengundi yang lain dari sini.

“Saya lihat sangat memberangsangkan kerana ukuran bagi saya melihat pendekatan yang ada, kesungguhan mereka di tempat-tempat yang saya pergi ada (pengundi) yang datang cari… bermakna dari situ kita tahu ia berkesan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas menyantuni warga Kemaman di Batu 4, Binjai, di sini.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Seterusnya, Raja Mohamed Affandi yang mempunyai pengalaman dalam bidang ketenteraan selama lebih empat puluh tahun berharap rakyat Kemaman dapat melakukan perubahan dan memilih BN pada 2 Dis kelak.

“Itu yang saya seru kepada pengundi di Kemaman ini untuk keluar beramai-ramai mengundi, jalankan tanggungjawab dan berikan (undi) kepada BN kerana ia pilihan yang terbaik yang ada… kita bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan.

“Pastinya akan dapat memberikan kelebihan kepada pengundi-pengundi di Kemaman. Kita lihat banyak (pembangunan) yang kerajaan BN buat… apa yang tak dibuat? Jalan raya, masjid tak terkira… lihat papan tanda projek-projek (pembangunan) telah dilakukan terdahulu,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.