Raja Mohamed Affandi Punya Kelebihan Tersendiri Sebagai Anak Jati Kemaman – Johari

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Sebagai anak jati Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mempunyai kelebihan tersendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Katanya, ini termasuk karakter bekas Panglima Angkatan Tentera itu (ATM) itu yang mudah didekati dan bersahaja dalam mendekati pengundi selain sudah terbiasa dengan penduduk di kawasan ini.

“Beliau merupakan anak jati Kemaman dan memang hendak berkhidmat di sini. Saya lihat dia juga sepanjang pagi sampai malam turun ke bawah berjumpa dengan masyarakat jadi ramai kenal dia di tambah pula beliau orang sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan ziarah kasih di Kampung Tuan, Chukai bersama jentera UMNO/BN Wilayah Persekutuan serta jentera tempatan, semalam

Dalam pada itu Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan berkata, rakyat di Kemaman perlu berfikiran secara rasional pada PRK ini kerana ianya kesempatan terbaik mereka untuk memastikan wakil rakyat mereka membawa suara ke Parlimen.

Menurut beliau ini penting bagi memastikan agenda pembangunan diteruskan bagi manfaat tersebut diperolehi rakyat.

“Di Terengganu ini ada lapan Parlimen dengan 8-0 jadi kalau menang BN di sini beliau boleh mewakili masyarakat di Kemaman ini dan juga orang Terangganu untuk bawa isi-isu yang bersangkut paut tentang masalah masyarakat kepada kerajaan Persekutuan.

“Harap masyarakat Kemaman bagi sokongan kepada beliau untuk mewakili Parlimen Kemaman lebih banyak yang baik-baik dia boleh bawa di Parlimen,” ujar beliau.

Sementara itu mengulas berkenaan strategi UMNO/BN yang sering melaksanakan program ziarah kasih seperti menyantuni golongan kurang bernasib baik, beliau berkata ianya suatu mekanisma yang perlu dilazimi.

“Saya dapat respon yang sangat positif dengan kaedah kempen seperti ini sebab itu saya galakkan semua pemimpin UMNO untuk empat tahun akan datang sehingga 2027 iaitu apabila kita akan berhadapan sekali lagi pilihan raya kena amalkan menziarahi.

“Walaupun bukan wakil rakyat tetapi kena pergi ke bawah jumpa mereka insya-Allah mereka akan menghargai sebab kita tak tahu masalah kadang-kadang tidak boleh selesai masalah tetapi kita boleh bawa ke pihak atasan,” katanya.

Untuk rekod BN pada PRK ini mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi, 66 tahun. Beliau berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi yang sudah berkhidmat selama 43 tahun bersama ATM,
berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.