PRK: Peluang Rakyat Kemaman Dapatkan ‘Jambatan’ Dengan Kerajaan Pusat

KEMAMAN, 26 Nov – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru kepada pengundi agar dapat memilih calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor pada hari pengundian 2 Dis nanti.

Kata Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, demi manfaat rakyat Kemaman mereka perlu merebut peluang tersebut agar dapat membina satu jambatan dengan kerajaan pusat.

“Saya percaya tidak banyak tempat mendapat peluang sebegini selepas pilihan raya negeri yang baru-baru ini. Ini adalah satu peluang untuk masyarakat di Kemaman memperbaiki kedudukan mereka.

“Kita sedia maklum bahawa kita nak pilih wakil rakyat yang boleh mempunyai jambatan dengan kerajaan pusat. Kita hendakkan jambatan yang benar-benar berkesan dan memberi manfaat,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, Khaled hadir di Program Semarak Siswa Madani@Kemaman di Kampung Pulau Tempurung, Air Putih, di sini.

Jelasnya, calon dari parti lain tidak mampu memberi nilai tambah kerana tidak mampu membuat perubahan bagi rakyat di Kemaman.

“Calon dari parti lain tidak memberi apa-apa nilai tambah, tidak akan bawa perubahan kerana kebetulan calon sebagai menteri besar dia patut memang jaga semua kawasan.

“Jadi kalau nak letak dia juga, apa nilai tambah yang dia boleh bagi? Dia tidak boleh beri nilai tambah. Dia tidak boleh bawa projek-projek kerana kalau nak bawa projek sebagai menteri besar, tak payah nak jadi ahli Parlimen.

“Tetapi kalau nak soal penyelesaian, mengupayakan masyarakat, membawa projek-projek yang berimpak tinggi, menyediakan pekerjaan mesti perlu ada hubungan yang baik dengan kerajaan pusat yang tak mungkin boleh dilakukan oleh calon dari parti lain,” ujar Ahli Parlimen Kota Tinggi itu lagi.

Justeru, beliau berharap pengundi dapat berfikir dengan baik dan bijak dengan memilih BN supaya wujud persaingan yang lebih kompetetif dalam memberi khidmat bakti kepada rakyat.

“Jadi atas sebab itulah saya berharap pengundi dapat berfikir dengan baik, bijak dan memilih BN supaya pihak parti lain yang telah menang dalam pilihan raya negeri akan bekerja kuat nak pastikan supaya mereka lebih baik khidmat daripada calon ataupun wakil rakyat BN.

“Tapi kalau mereka menang juga mereka tidak perlu bekerja kuat kerana tanpa mereka tunjukkan muka, mereka boleh menang,” katanya.

Tambahnya juga, dengan dengan kekukuhan Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini, sudah pasti rakyat akan mendapat manfaat kerana mempunyai wakil daripada sebuah kerajaan yang dapat membantu dengan sebaiknya.

Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.