Dalam Politik ‘Impossible Is Nothing’, Ahmad Maslan Seru Jentera Terus Berusaha Pastikan Kemenangan BN

KEMAMAN, 26 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru jentera agar terus berusaha dan bekerja keras tanpa berputus asa bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Walaupun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu BN kalah kepada Pas dengan majoriti yang besar, ujar Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, tiada perkara yang mustahil dalam politik negara.

“Oleh itu walaupun kalah 27 ribu, ada kesukaran untuk menang… tidak ada perkara mustahil dalam politik bahawa Barisan Nasional boleh memenangi Pilihan Raya Kecil Kemaman ini.

“Bak kata Muhamad Ali ‘impossible is nothing’, selalu orang sebut ‘nothing is impossible’… tak silap saya dia bertanding 61 pertandingan tinju, kalah hanya 5 dan selebihnya menang.

“Jadi saya ingin menegaskan perkara sama kepada jentera kita bahawa kemustahilan itu tiada, selalu orang sebut tiada yang mustahil. Insya-Allah kita boleh memberikan kemenangan kepada calon kita,” ujar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu dalam sidang medianya di Bilik Gerakan BN Cawangan Mak Cili di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata dalam PRK Parlimen Kemaman ini, negeri Johor dipertanggungjawabkan membantu jentera tempatan di 14 kawasan cawangan dengan melakukan aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ceramah kelompok.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Seterusnya, Ahmad berkata perlunya ada jambatan sebagai penghubung antara Kemaman dengan kerajaan pusat bagi kepentingan rakyat.

“Jambatan perhubungan antara pusat dan negeri. Jambatan itu kita ingin bina kerana tidak ada lagi jambatan antara pusat dan negeri. Menyeberang hubungan antara pusat dan negeri perlukan jambatan.

“Kita memberikan satu jambatan yang tegap, orang yang banyak pengalaman dan jasa kepada negara iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, jambatan yang kukuh untuk dijadikan hubungan.

“Kita ingin menyatakan bahawa jangan dibakar satu-satunya jambatan yang ingin kita bina ini. Kemungkinan inilah satu-satunya peluang untuk membina jambatan. Oleh kita bina jambatan ini dengan memberikan kemenangan kepada Tan Sri dan kerajaan dengan mudah melaksanakan apa juga perancangan di Kemaman ini,” katanya.

Jelasnya lagi, semua kemudahan infrastruktur dan pembangunan yang ada di Kemaman dibina oleh kerajaan BN sebelum ini dan bukannya Pas walaupun mereka menjadi kerajaan negeri.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.