UMNO Tolak Perjuangan Islam? Dr Asyraf Bidas Haji Hadi

KEMAMAN, 25 Nov – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membuat tuduhan UMNO melawan dan menolak perjuangan Islam.

Tegas Dr Asyraf, kenyataan Abdul Hadi amat berbahaya kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran mereka yang taksub kepada Pas dan menyebabkan isu kafir-mengkafir berlarutan tanpa henti sejak dahulu.

UMNO ujar Dr Asyraf, tidak pernah mahu menanggalkan agenda Islam sebagai teras perjuangan seperti mana dalam perlembagaan parti yang jelas Menegak, Mengembang dan Mempertahankan Islam sebagaimana Islam dalam agama Persekutuan.

Ulasnya juga, Islam bukan hanya tertumpu kepada perkara berkaitan ibadah tetapi merangkumi pentadbiran politik, mengurus ekonomi dan soal pembangunan termasuk syiar dan syariat Islam.

“Politik sebahagian daripada agama kerana Islam agama yang syumul, kamil… bukan hanya sembahyang dan zakat. Islam juga berkenaan pentadbiran politik, pentadbiran kerajaan, memilih pemimpin, mengurus ekonomi dan soal pembangunan.

“UMNO ada pengalaman membangunkan negara, mentadbir kerajaan. Kita melihat Islam secara menyeluruh perjuangkan Islam. Kita letakkan asas. Jasa paling besar pemimpin terdahulu Tunku Abdul Rahman meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Inilah kesan yang membolehkan kita selama lebih 60 tahun UMNO Barisan Nasional boleh guna hasil negara untuk pembangunan syiar dan syariat Islam,” katanya ketika berucap di majlis Kenduri Sekampung di Felda Neram 2, Air Putih di sini.

Jelas Dr Asyraf, UMNO serius dalam membentuk akidah umat Islam di negara ini dengan menitik beratkan pendidikan agama sejak di bangku sekolah lagi.

“UMNO dari dahulu melihat soal Islam bermula dengan mendidik soal akidah, akhlak, pandai membaca al-Quran kepada anak-anak kita. Setiap tahun di bawah Kementerian Pendidikan sahaja ada Bahagian Pendidikan Islam, kerajaan membelanjakan tidak kurang daripada RM1.8 bilion.

“Duit ini digunakan untuk belanja 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), 229 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum ini dipanggil Sekolah Agama Rakyat. 499 Sekolah Menengah Aliran Agama. Ada 101,760 guru-guru Pendidikan agama.

“Dalam zaman Barisan Nasional (BN) memerintah kita perkenalkan 51,000 guru-guru J-QaF (Jawi, Bahasa Arab, Fardhu Ain dan al-Quran) tahun 2004. Dalam perbahasan Perhimpunan Agung UMNO ada usul agama wajibkan dari sekolah rendah mengaji agama dan al-Quran. Akhirnya Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ambil ia sebagai dasar pendidikan,” katanya.

Begitu juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berkata MARA sebagai institusi yang diamanahkan untuk menjaga agenda Melayu serta jasa Felda yang mengangkat taraf sosio ekonomi orang Melayu.

Manakala berhubung dengan keputusan UMNO dan BN untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain parti dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf berkata UMNO tetap meletakkan agenda perjuangan Islam dan orang Melayu sebagai keutamaan.

“Atas titah tuanku, UMNO setuju dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan tetapi dengan syarat. Pertama, jangan sentuh soal Islam. Ini agenda kita Islam agama Persekutuan, UMNO letak di dalamnya. Kedua keistimewaan dan kedudukan orang Melayu dan bumiputera. Ketiga berkenaan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Sebagai rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Pas pula mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.