PRK Kemaman: Pas Letak MB Terengganu Sebab Tiada Pilihan, Calon BN Berkebolehan

KEMAMAN, 25 Nov – Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bukan sahaja memberi kejutan kepada ahli parti malah pihak Pas, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, pemilihan calon yang dibuat oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu ternyata membuatkan Pas tiada pilihan lain selain meletakkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon mereka.

“Saya berpandangan bahawa apa yang Barisan Nasional letak seorang calon langsung ini merupakan satu pilihan daripada Presiden parti yang sangat baik. Kerana meletakkan calon di luar daripada struktur parti, seorang bekas Panglima Angkatan Tentera yang mahu untuk diberi peluang sebagai calon Barisan Nasional.

“Jadi sesuatu yang bukan sahaja sangat mengejutkan ahli parti tetapi juga pihak lawan kerana mereka tidak sangka.

“Bila meletakkan seorang tokoh terpenting negara sebagai bekas Panglima Angkatan Tentera dalam arus perdana politik dalam PRK, jadi mereka tiada pilihan untuk mempertahankan kerusi Kemaman ini dengan meletakkan Menteri Besar Terengganu sebagai calon,” kata Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu.

Mahdzir turut bersetuju pihak Pas tidak sewajarnya mempertikaikan serta memperkecilkan kredibiliti Raja Mohamed Affandi yang terbukti berkemampuan dan berkebolehan.

“Saya fikir itu hak Barisan Nasional dan pimpinan untuk meletakkan calon langsung, jadi tak timbul soal itu. Dalam sebuah negara demokrasi kita letaklah sesiapa pun.

“Tapi yang paling penting orang itu ada kemampuan dan kebolehan. Dan bercakap tentang kehendak rakyat dan pengundi, pengundi tiada masalah dengan calon seperti Tan Sri Raja Mohamed Affandi, seorang yang merendah diri walaupun bergelar Tan Sri, bekas Panglima Angkatan Tentera dan boleh asimilasi dengan masyarakat,” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap semua pengundi Kemaman agar dapat memberi sokongan dan seterusnya memberi undi kepada Raja Mohamed Affandi sebagai wakil mereka.

Manakala berhubung dengan gerak kerja UMNO Kedah, Mahdzir berkata pihaknya dipertanggungjawabkan membantu jentera tempatan di empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan sembilan cawangan.

Sebagai rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.