Manfaatkan PRK Pilih Calon BN Untuk Salurkan Suara Rakyat Kemaman – Rozabil

KEMAMAN, 25 Nov – Rakyat Kemaman perlu memanfaatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemanan ini dengan memilih calon yang berkredibiliti dalam membawa suara mereka pada kerajaan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman.

Katanya, ini kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan adalah penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat terus dilaksana ditambah pula tiada wakil ahli Parlimen kerajaan di negeri ini.

“Pengundi di sini ambil peluang ini sebagai peluang kedua, kerana Terengganu ini kita tidak ada wakil daripada BN dan hari ini kita meletakkan seorang calon yang cukup berwibawa, berpengalaman, dihormati.

“Dari segi karakter wakil kita ini adalah calon terbaik dan saya berharap orang Kemaman beri undi kepada Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

“Mudah-mudahan beliau boleh menjadi suara bukan sahaja orang Kemaman tetapi juga orang Terengganu di peringkat pusat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata demikian ketika ditemui melakukan walkabout sempena kempen PRK di Baris Meraga, Kijal.

Bercakap mengenai gerak kerja UMNO Negeri Perlis, beliau berkata pelbagai pendekatan dilakukan mereka untuk berjumpa pelbagai kelompok pengundi di sini.

Jelas Razabil, gerak kerja tersebut dilakukan Wanita termasuk sayap Pemuda dan Puteri melalui kaedah berbeza berjumpa pengundi bagi memperkenalkan Raja Mohamed Affandi sebagai calon BN.

“UMNO Kangar, Arau dan Padang Besar menghantar wakil dan kita ucapkan terima kasih kepada Wanita UMNO Negeri Perlis yang menghantar kontinjen yang agak ramai untuk membantu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Meris Beraga seperti diberi UMNO Pusat kepada UMNO Perlis insya-Allah kita akan cuba laksanakan sebaik mungkin.

“Setiap hari kebanyakkannya rumah ke rumah, wanita setiap hari berkempen dari rumah ke rumah kerana kita menjaga pengundi kelabu dan hitam dan cuba hendak meyakinkan mereka untuk beri undi kepada BN.

“Selain itu kami juga buat direct approach kepada pengundi muda terutamanya dengan menyantuni mereka dalam program-program yang berbentuk santai kita akan duduk bersama dengan Pemuda dan Puteri,” ujar beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.