Raja Mohamed Affandi Wira Negara, Banjir 2013 Bukti Prihatin Kemaman

KEMAMAN, 24 Nov – Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan insan hebat atas baktinya kepada negara dan khususnya rakyat Kemaman, Terengganu.

Menilai calon Barisan Nasional (BN) itu sebagai wira negara, Pengerusi Media UMNO Bahagian Kemaman, Wan Hakim Wan Mokhtar berkata paling tidak dapat dilupakan beliau apabila Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu memainkan peranan besar ketika Kemaman dilanda banjir pada 2013.

“Raja Mohamed Affandi bukan orang biasa-biasa, orang hebat yang saya gelar dia wira negara kerana orang Kemaman tahu waktu 2013 ketika dilanda banjir amat besar dalam sejarah tidak pernah berlaku dalam 100 tahun di Chukai ada jambatan hendak sampai ke pasar Kemaman itu runtuh dan ganggu perjalanan.

“Raja Mohamed Affandi sebagai panglima ATM yang mengarahkan untuk dibina jambatan iaitu tentera punya strategis logistik dipasang jadi memudahkan perjalanan rakyat Kemaman-Chukai,” katanya ketika sidang media yang diadakan di UMNO Bahagian Kemaman, hari ini.

Katanya begitu juga di Air Putih apabila ATM di bawah Raja Mohamed Affandi telah membawa keluar penduduk dengan menggunakan kenderaan tentera.

“Kita tak dapat masuk dengan bot pun tidak boleh, bomba pun tidak boleh. Jadi diarahkan kenderaan tentera 10 tan yang boleh masuk dan selamatkan nyawa rakyat.

“Pada waktu itu beliau bukan orang biasa-biasa kita tengok waktu banjir sahaja dah banyak beliau bantu. Jadi kita mintak rakyat Kemaman beri sokongan kepada Raja Mohamed Affandi calon BN,” ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu.

Sementara itu mengulas berkenaan kempen minggu pertama, beliau berkata penerimaan dalam kalangan pengundi pada tahap yang baik dan ianya akan dilipat gandakan kepada kelompok pengundi berbeza pada minggu kedua.

“Kita hanya minta satu sahaja daripada 40 kerusi (lapan Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri). Jadi kita merayu dan pastinya satu ini kualitinya lebih bernilai daripada kuantiti yang ramai.

“Menerusi dapatan daripada sosial media juga agak menarik melalui responnya. Harapan kita tinggi untuk rakyat bagi sokongan kepada BN dan untuk enam hari ini ada sesetengah segmen yang ‘cover’, kemudian pusingan kedua ini segmen yang lain pula.

“Kita rasa cukup lega dan beri harapan cukup tinggi sebab tiada sebab untuk kalah, namun tiada masalah menang atau kalah kerana kita hendak bukti kepada rakyat melalui prisip.

“Orang tanya kenapa buat pilihan raya, orang buat pilihan raya kalau kalah 500 atau 1,000 tapi ini 27,000 undi. Menyusahkan rakyat dan saya jawab isu bukan isu undi tersebut tetapi ini membabitkan prinsip iaitu Pas rasuah, ini jelas keputusan mahkamah,” ujar beliau.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Untuk rekod BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi, 66 tahun. Beliau berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.