Pas Jangan Perkecilkan Orang Kemaman, Jasa UMNO/ BN Kepada Negara – Ahmad Said

KEMAMAN, 24 Nov – Pemimpin Pas dilihat memperkecilkan rakyat Kemaman dengan mengandaiankan bahawa pengundi di kawasan itu akan tetap memilih mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini meskipun parti itu meletakkan calon ‘botol air’, kata Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya, sikap angkuh itu tidak menghairankan apabila mereka juga sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mendabik dada dan mengaitkan sesuatu yang menjengkelkan.

“Apakah orang Kemaman ini tidak ada hati perut, maruah dan harga diri? Nak undi botol air dan sebelum ini kata batang pisang?

“Dan lebih dahsyat baru-baru ini mereka kata letak babi pun boleh menang,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu malah berkata kenyataan Pas itu tidak sepadan dengan ajaran agama Islam seperti yang kononnya dibawa mereka.

Malah menurut beliau lagi, perumpamaan dengan mengaitkan sesuatu yang tidak masuk akal itu seperti merendahkan UMNO/Barisan Nasional (BN) yang selama ini berjasa kepada pembangunan agama dan negara termasuk di negeri ini.

“Sikap kepimpinan Pas dan penyokong membayangkan UMNO/BN yang banyak berjasa kepada negara diibaratkan lawan botol air pun boleh menang.

“Ini mentaliti orang Pas yang memperkecilkan orang sedangkan dia sebagai seorang Islam sepatutnya menjadi tatalaku dan percakapan jangan perkecilkan orang lain.

“Malah bukan itu sahaja dalam Tiktok juga ada keluar dia kata calon dia adalah Tun Dr Mahathir yang pernah jadi Perdana Menteri dan kata letak batang pisang pun Pas boleh menang,” sindir beliau.

Respon tersebut diberikan beliau selepas ditanya berkenaan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang berkata ‘sebelum ini, kita menang (kerusi Parlimen Kemaman) dengan majoriti lebih 27,000. Adat kata, letak botol (air) mineral pun, insya-Allah boleh menang’.

Ahmad Said yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu itu turut sama berharap pengundi di Kemaman untuk bijak membuat keputusan pada PRK ini dan tidak terpengaruh dengan muslihat dibawa pembangkang.

“Sebab itu saya minta orang Kemaman jaga harga diri kita, jangan terpengaruh dengan Pas kerana kalau dia menang dia main duit seperti yang dibuktikan di mahkamah.

“Jadi kalau orang Kemaman ada maruah ayuh kita undi BN pada kali ini.

“Saya minta rakyat berfikir, kita letak calon jeneral orang Terengganu pertama sebagai calon. Panglima ATM bukan ramai, supaya kita boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang Kemaman,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK ini berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.