Hudud Hanya Mainan Politik Pas, Isu Bermusim – Dr Asyraf Wajdi

KEMAMAN, 24 Nov – Pas hanya menunggang agama untuk kepentingan survival parti mereka, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya ini berbukti apabila mereka dilihat tidak komited dalam membawa isu hudud yang disifatkan hanya bermusim.

“Kalau ingat dalam kempen-kempen pilihan raya dulu sebelum dia berbaik dengan Dap di mana-mana pilihan raya akan bercakap berkenaan hendak laksanakan hudud.

“Hanya bila berbaik dengan Dap pada 1999 baru dia tidak bercakap langsung berkenaan hudud. Datuk Yaakob sampai hari ini sebagai ahli pimpinan tertinggi PKR boleh mengesahkan.

“Pas waktu gabungan bersama PKR dan Dap sudah tidak membicarakan soal hudud, negara Islam. Waktu bersama dengan Dap tahun 1999, 2004, 2008, tiga pilihan raya mereka hanya matlamatnya hendak menjatuhkan kerajaan Melayu/ Islam di bawah UMNO yang mendominasi kerajaan BN, itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Dataran Mat Said, Kijal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, malam tadi.

Mengulas lanjut berkenaan pelaksanaan PRK ini, beliau berkata ianya sebagai saksi kepada ketidakjujuran yang dilakukan mereka demi menarik undi rakyat.

Untuk itu kata beliau lagi, pengundi perlu memanfaatkan PRK ini untuk memastikan Parlimen Kemaman berada di bawah Kerajaan Pusat bagi pelaksanaan pembangunan sewajarnya di kawasan ini.

“Yang penting PRK ini bukan kerana hendak sangat kuasa tetapi mahkamah yang putuskan bahawa PRK kena dilakukan kerana Pas merasuah pengundi.

“Jadi apabila itu keputusannya Kemaman ada peluang kedua, kalau saya jadi orang sini saya akan menggunakan kebijaksanaan.

“Empat Dewan Undangan Negeri sudah pun dimiliki oleh Pas jadi apa salahnya Parlimen ini diberikan kepada BN yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Negeri akan turun bajet, Pusat pun akan bajet manfaat akan diperolehi rakyat. Tidak puas hati tidak mengapa pilihan raya depan tukar balik,” ujar beliau.

Untuk rekod BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan beliau berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.