Fokus BN Kestabilan, Kemakmuran Untuk Rakyat… Pas/PN Suka Timbul Persepi, Datangkan Kebencian Rakyat

KEMAMAN, 24 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata terdapat jurang yang besar setiap kali tiba musim pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) berbanding Pas dan Perikatan Nasional (PN).

Ujar Ahli Parlimen Jelebu itu, gerak kerja BN sentiasa membawa misi dan visi Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan negara dan seterusnya demi kemakmuran rakyat.

Tegasnya, berbanding dengan Pas dan PN mereka sentiasa menimbulkan persepsi, mencari isu-isu hingga ke tahap mempertikaikan kredibiliti orang lain semata-mata mahu mendatangkan kebencian masyarakat.

“Ini adalah satu perbezaan yang ketara bagi kedua-dua parti politik yakni Barisan Nasional yang diwakili UMNO dengan Pas. Gerak kerja kempen semua jentera sama ada jentera tempatan ataupun luar yang dilakukan oleh Barisan Nasional untuk membawa misi dan visi Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun akan datang sekurang-kurangnya tentang pembangunan, kesejahteraan rakyat dan kestabilan masyarakat yang dianggotai kaum Melayu, Cina dan India dan yang lain.

“Ini adalah visi dan pegangan Barisan Nasional berbanding dengan Pas ataupun Bersatu daripada Perikatan Nasional yang sentiasa melihat kepada kelemahan individu, mencari isu yang berkaitan dengan perkara yang boleh mendatangkan kebencian masyarakat kepada pemimpin-pemimpin kita,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui UMNO Online selepas program Ziarah Kasih rumah ke rumah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Baru Cheneh di sini dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Tambah Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu lagi, kerana itu pentingnya peranan jentera parti dalam menyampaikan maklumat yang tepat usaha-usaha kerajaan.

“Peranan jentera atau penyampai maklumat bagi pihak Kerajaan Perpaduan mesti menterjemah dan menyatakan Kerajaan Perpaduan sekarang ini mauduk kepada kesejahteraan rakyat, pembaikan ekonomi dan kestabilan negara itu sangat penting untuk kita beri tumpuan.

“Kerana kestabilan inilah rakyat dapat pembelaan yang sewajarnya. Kalau kita dengar penjelasan dan penerangan daripada UMNO dan Barisan Nasional kita tidak menyentuh soal bangsa, kaum, individu, berkaitan peribadi dan sebagainya. Kita hanya membawa visi dan mandat perjuangan untuk dinikmati oleh Masyarakat dan pengundi di kawasan ini.

“Saya mengharapkan pihak Pas terutamanya mencari perkara-perkara selain memperkecilkan calon, pemimpin-pemimpin kita kerana semua ini merupakan satu kaedah kempen yang sudah lapuk… satu kaedah kempen pada saya tidak lagi diterima rakyat dan pengundi,” katanya.

Sebagai rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.