Undi Orang Tua Atau Muda Sama Penting Bagi BN – Raja Mohamed Affandi

KEMAMAN, 23 Nov – Setiap undi daripada pelbagai kelompok umur dan masyarakat adalah penting bagi Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, kata calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Bahkan katanya beliau sebagai calon mempunyai pendekatan tersendiri dan akan mendekati seramai mungkin pengundi bagi tempoh berkempen ini.

“Setiap undi dikira sama ada tua atau muda, perlu atau tidak (disokong) saya rasa ianya satu yang mesti.

“… untuk BN kita ambil pendekatan bahawa BN cakne pengundi muda dan tua kerana mereka itu lah yang akan beri kejayaan kepada BN,” katanya ketika ditemui media di Kedai Makan Paksu, Kijal.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menganggap bahawa pengundi dalam kalangan warga emas di Parlimen Kemaman tidak faham politik apabila menyokong BN dalam Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-15, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Raja Mahamed Affandi berkata pihaknya juga tidak terlalu fokus dalam mendapatkan undi daripada penyokong pembangkang sebaliknya mendambakan kesetiaan daripada penyokong UMNO/BN.

“Kita memang kenalpasti kawasan dia tetapi tidak menerjah ke situ kerana kita hendak banyak cari bukan hanya mencari sokongan daripada pihak lawan tetapi juga kita punya (penyokong).

“Jadi saya menyeru orang UMNO untuk kekal di situ (sokong) kerana yakin bahawa kita akan peroleh kemenangan dan bertahan sehingga masukkan kertas ke peti undi pada 2 Disember,” ujar beliau.

Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sudah berkhidmat selama 43 tahun itu berkata, beliau tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang kepada pengudi di sini.

Sebaliknya kata beliau perkara yang paling pada ketika ini adalah untuk menyumbangkan kemenangan kepada BN dan seterusnya berkhidmat sebaiknya kepada rakyat Kemaman.

“Saya berpegang kepada itu kerana bagi saya apa benda dalam kawalan saya itulah akan dikatakan, kalau benda itu bukan dalam kawalan tidak boleh berjanji.

“… tetapi yakinlah di dalam fikiran kita itu harus ada untuk memberi yang terbaik jadi kalau dapat mandat itu saya mesti buat yang terbaik untuk kawasan.

“Kenapa mesti tinggalkan kalau janji nak buat jambatan emas melalui Bukit Kuang, saya tahu mungkin benda itu tidak dapat dicapai, saya tidak begitu,” katanya.

Untuk rekod, Raja Mohamed Affandi pada PRK ini berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.