PRK Kemaman: Raja Mohamed Affandi Dan Jentera BN Terus Santuni Pengundi

KEMAMAN, 23 Nov – Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor terus menyantuni pengundi bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Berkempen bersama jentera Barisan Nasional (BN), mereka bergerak bersama-sama dalam mendekati pengundi bagi memperkenalkan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu sebagai calon parti.

Ditanya mengenai kesepaduan dalam kalangan jentera parti, Raja Mohamed Affandi berkata kerjasama yang baik dicapai mereka dalam mengharungi minggu awal berkempen.

“Hari kelima berkempen saya lihat dengan pergi ke pusat daerah mengundi aktiviti mereka itu sudah bermula dengan baik yang ‘pick up’.

“Maknanya mereka akan gempur kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan, jadi saya rasa akan naik lagi rating kita lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan walkabout di Taman Gong Pauh Kampung Jaya, Chukai.

Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi berkata beliau akan sedaya upaya memanfaatkan masa yang ada untuk bertemu seberapa ramai pengundi bagi memperkenalkan dirinya sebagai calon pada PRK ini.

Untuk rekod, Raja Mohamed Affandi, 66 tahun pada PRK ini berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi yang sebelum ini berkhidmat 43 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.