PRK Kemaman: Pilih Calon BN, Bakal Wakil Tunggal Terengganu Di Parlimen- Hasmuni

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman ini adalah ‘battle of honor’ kerana kedua-dua calon yang bertanding adalah calon ‘heavy weight’, namun, paling penting ialah pengundi mesti melihat rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang cemerlang tahun ini, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan.

Katanya, pengundi mesti ambil kira sebelum membuat keputusan di peti undi dan rakyat Kemaman mestilah bijak memilih wakil rakyat yang bakal membela dan memberi khidmat terbaik kepada mereka.

“Barisan Nasional (BN) sekali lagi akan bertembung dengan Pas dalam PRK Kemaman ini. Calon terbaik BN ialah Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menentang Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, Pas – Perikatan Nasional (PN).

“Tan Sri Raja Mohamed Affandi ni pun hebat juga. Anak jati Kemaman, beliau ialah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berpangkat Jeneral (B), sudah banyak khidmat dan bakti yang ditaburkan pada negara.

“Jika ada wakil dari Terengganu dalam Kerajaan Perpaduan, lebih banyak pelaburan dapat dibawa masuk ke Kemaman. Ekonomi di Kemaman akan memberi limpahan kepada negeri Terengganu. Jadi, rakyat di Kemaman sangat wajar mengembalikan kerusi Kemaman kepada BN demi kelangsungan dan kemakmuran Kemaman khasnya dan negeri Terengganu umumnya,” katanya menerusi satu hantaran kepada UMNO Online, hari ini.

Tambah Hasmuni, Kemaman adalah kubu kuat UMNO dan bukan calang-calang orang UMNO yang berada di Kemaman ini.

 

“Begitu juga Datuk Seri Ahmad Shabery Chek pun orang Kemaman. Pernah jadi Menteri Belia dan Sukan, Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kali ini, peluang bagi orang-orang Kemaman untuk pilih calon yang benar-benar boleh bekerja dan berkhidmat untuk membantu orang-orang di Kemaman,” ujarnya.

Seterusnya kata Hasmuni lagi, persoalan kenapa BN mesti menang di Kemaman ada jawapannya.

“Jawapan paling mudah ialah calon BN itu akan menjadi wakil tunggal Terengganu di blok Kerajaan Perpaduan apabila parlimen bersidang.

“Setakat ini tidak ada seorang pun wakil daripada negeri Terengganu yang duduk di blok kerajaan. Maka, sekiranya BN menang dalam PRK Kemaman ini, beliau akan menjadi jambatan yang menghubungkan Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan.

“Kenapa mesti ada wakil dari Terengganu dalam Kerajaan Perpaduan? Sebab beliaulah yang akan menjadi penghubung segala aspirasi Kerajaan Perpaduan untuk rakyat negeri Terengganu,” jelas beliau.

PRK Kemaman diadakan ekoran kemenangan penyandang sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, Che Alias Hamid dari Pas dibatalkan oleh mahkamah. – UMNO Online


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.