Jangan Mendahului Tuhan, Pemimpin Pas Tak Perlu Angkuh Dan Dabik Dada Soal Menang Kalah

KEMAMAN, 23 Nov – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membidas sikap angkuh pemimpin Pas berhubung soal menang kalah dalam pilihan raya.

Ujarnya, semua pihak tidak sepatutnya mendahului urusan tuhan serta jangan bersikap angkuh dan mendabik dada dengan kemenangan yang diperolehi.

“Saya rasa kita tidak boleh mendahului tuhan dalam soal ini dan tak perlu angkuh, mendabik dada siapa menang siapa kalah. Apa-apa boleh berlaku dan saya doakan soal menang kalah tetapi biarlah kalau menang kemenangan yang baik.

“Ditakdirkan kalau kemenangan yang kita hendak itu adalah kemenangan yang diberkati, yang memberikan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat, negara, bangsa dan agama kita sendiri,” kata Ahmad Shabery yang juga merupakan Pengerusi Felda lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sikap seorang pimpinan tertinggi Pas yang mengatakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman ini jika mereka meletakkan ‘botol mineral’, kemenangan pasti di pihak mereka.

Ahmad Shabery ditemui selepas majlis kenduri sekampung di Felda Seberang Tayor, Air Putih di sini.

Seterusnya ulas Ahmad Shabery lagi, timbul persoalan apakah yang selama ini telah dibuat oleh Pas waima ketika diberi peluang berada di dalam Kerajaan Persekutuan sebagaimana contoh isu Rang Undang-Undang (RUU) 355.

“Selama ini kalau mereka menang… apa yang mereka telah buat? Dulu mereka cakap kat kerajaan nak buat tentang RUU355… diorang kena sebut apakah inisiatif dan program besar Islam yang mereka buat selama 33 bulan.

“Banyak yang boleh dibuat, RUU lain pun banyak, RUU Lompat Parti boleh dibuat, SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012) boleh dibuat… kalau Pas kata keutamaan dalam hidup mereka adalah Islam, takkan tiada satu pun dia buat.

“Jadi ramai menganggap mereka tidak serius tentang Islam, mereka hendak kuasa dan kedudukan sahaja tetapi tidak menunjukkan kesungguhan ketika mereka diberi kesempatan untuk berada dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sebagai rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.