PRK Kemaman: Yakin Ada Perubahan, Jentera Perlu Berusaha Keras Dan Jangan Putus Asa – Mohd Isam

KEMAMAN, 22 Nov – Ketua UMNO Bahagian Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa yakin ada perubahan yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Kata Ahli Parlimen Tampin itu, momentum dan penerimaan rakyat terhadap calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor amat baik berdasarkan pengalamannya yang bertemu sendiri dengan rakyat di kawasan itu.

“Saya nampak momentum amat baik walaupun dulu kita kalah 27 ribu (majoriti undi) tetapi apabila calon diumumkan dan gerak kerja jentera berjalan dengan baik dan saya yakin ada perubahan yang akan berlaku di Kemaman ini.

“Saya minta semua jentera berusaha, bekerja keras, jangan cepat putus asa. Kita bekerja keras sehingga ke hari mengundi, insya-Allah kita boleh menawan kembali Kemaman ini,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum itu, Mohd Isam bersama dengan jentera UMNO Bahagian Tampin dan tempatan melakukan kunjungan hormat rumah ke rumah di Felda Cerul 2 di sini.

Pada PRK Kemaman ini, BN menampilkan Raja Mohamed Affandi, 66, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anak jati Kemaman sebagai calon.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dari University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Jelas Mohd Islam lagi, kemenangan BN sudah pasti akan menjadi satu jambatan antara rakyat kawasan itu dengan kerajaan pusat terutama dalam penyaluran bantuan yang lebih efisien.

“Dan pentingnya Kemaman ini adalah satu jambatan Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan kerana Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini amat stabil dan kita perlukan perkhidmatan daripada Kerajaan Perpaduan bagi membantu, membangunkan Parlimen Kemaman ini.

“Bagilah peluang kepada UMNO/BN untuk menjadi ahli Parlimennya dan insya-Allah dalam masa lima tahun ini kita nampak bukti yang boleh kita bangunkan di kawasan Kemaman ini, insya-Allah,” ujarnya.

Berhubung dengan gerak kerja UMNO Bahagian Tampin yang menjadi bahagian angkat di Felda Cerul 2, Mohd Isam berkata para petugas beri komitmen sepenuh masa dan pertambahan jentera akan meningkat dari masa ke semasa.

Tambahnya, selain fokus kepada kempen rumah ke rumah, terdapat juga pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan mengikut kumpulan sasar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.