PRK Kemaman: Pembatalan Kemenangan Jadi Asas Moral, Bukti Slogan ‘Bersih Dan Stabil’ Kontradik Dengan PN

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas/Perikatan Nasional (PN) pada September lalu menjadi asas moral kepada Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan slogan PN iaitu ‘bersih dan stabil’ kontradik dengan tindak tanduk mereka.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah status quo kepada parti penyandang.

“Buat masa ini, siri PRK yang berlaku pasca enam PRN menunjukkan keputusan PRK adalah status quo kepada parti penyandang sebagaimana di Simpang Jeram dan Pulai berserta Pelangai.

“Justeru, PRK Kemaman akan datang juga dilihat akan mengikut corak yang sama sebagaimana yang lainnya.

“Dalam kedudukan semasa, BN memiliki kelebihan sebagai Kerajaan Persekutuan sementara PN memiliki kelebihan sebagai kerajaan negeri dan Parlimen penyandang. Justeru, cabaran untuk memenangi Parlimen Kemaman dipercayai sukar,” katanya kepada UMNO Online.

Meskipun dilihat agak sukar untuk menawan kerusi Parlimen Kemaman ini, namun katanya tidak mustahil untuk BN menyasarkan peningkatan jumlah undi untuk memberi indikasi wujudnya sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

“Namun begitu, BN juga boleh menyasarkan untuk meningkatkan jumlah undi mereka ataupun merapatkan majoriti mereka dengan PN.

“Ini sekurang-kurangnya memberi indikasi wujudnya peningkatan sokongan dan penerimaan kepada BN,” katanya.

Mengulas lanjut, Anis Anwar turut beranggapan bahawa pasukan BN juga tentunya akan bijak dalam menjelaskan isu-isu teknikal dihadapi termasuk bagaimana Pas sehingga menyebabkan keputusan mahkamah tidak berpihak kepada mereka.

“Keputusan yang dilakukan oleh mahkamah menjadi asas moral kepada BN untuk membuktikan slogan PN iaitu ‘bersih dan stabil’ itu sebuah slogan yang kontradik dengan tindak tanduk mereka.

“Melihat kepada PRK Kuala Terengganu yang berlangsung disebabkan faktor elemen rasuah yang berlaku, PN masih menang dengan majoriti lebih besar. Ini adalah bukti yang boleh ditunjukkan kepada pengundi berserta penerangan yang dibuat untuk masa depan rakyat,” katanya lagi.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal pada 28 November. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.