PRK: Berkempen Sambil ‘Jejak Kasih’ Jumpa Kenalan Lama – Raja Mohamed Affandi

KEMAMAN, 22 Nov – Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor meluahkan keterujaan beliau kerana dapat berjumpa dengan beberapa kenalan lama ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) berkata ianya umpama jejak kasih.

“Ada antara tu kawan yang bermain bola dengan saya zaman dahulu, lepak-lepak ketika belasan tahun ada juga berjumpa di pasar.

“Macam tadi melawat ke rumah pengundi yang uzur tetapi dalam masa sama dia adalah orang yang saya kenal jadi ianya satu kelebihan, bagi saya macam jejak kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan ‘walkabout’ di Taman Pewaja Kampung Fikri di Geliga, semalam.

Dalam pada itu Raja Mohamed Affandi, 66 tahun yang sudah berkhidmat 43 tahun bersama Angkata Tentera Malaysia (ATM) itu turut berkata beliau mendapat respon yang positif daripada pengundi yang didekati.

Bagaimanapun katanya, beliau akan terus mendekati pelbagai kelompok masyarakat bagi memperkenalkan diri sebagai calon bagi PRK ini.

“Hari ini saya ‘walkabout’ daripada pagi tadi sehingga ke petang ini di kawasan Kuala Kemaman, Kampung Fitri, Geliga. ‘Cover’ banyak rumah juga, kebanyakan ‘walkabout’ saya cuba untuk santuni orang yang sakit di rumah mereka, bukan sahaja untuk undi kerana kalah menang itu adalah pertandingan.

“Namun daripada pengamatan saya penerimaan adalah positif dan menyakinkan. Apa yang kita lihat diterjemahkan, saya yakin kita mempunyai peluang besar untuk menang dalam pilihan raya ini.

“Saya terkejut juga lihat perkara yang perlu dibuat dalam masa singkat untuk minggu berkempen ini. Tadi pun ke rumah masyarakat India saya dapat jumpa dah, dapat satu kepuasan,” ujar beliau.

Raja Mohamed Affandi yang berpengalaman sebagai panglima ATM itu tergolong antara lima penjawat awam tertinggi negara, beliau pada PRK ini berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang merupakan anak jati Kemaman itu berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.