Masa Terbaik Beri Peluang Kepada UMNO/BN, Tiada Perselisihan Kerajaan Pusat Dan Negeri – Tengku Haphiz

KEMAMAN, 22 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang bakal berlangsung merupakan masa terbaik untuk memberikan peluang kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) agar tiada perselisihan di antara kerajaan pusat dan negeri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, PRK pada kali ini diadakan kerana terbatalnya kemenangan Pas disebabkan berlakunya pelanggaran peraturan pilihan raya.

“Pertamanya, alhamdulilah syukur kepada Allah SWT kerana pilihan raya kali ini merupakan satu perjalanan baharu bagi orang Kemaman kerana dalam tempoh kurang dua tahun ini kita terpaksa melalui satu proses demokrasi yang dinilai oleh institusi kehakiman.

“Apabila melihat ada kesilapan yang dibuat oleh Pas, akhirnya dalam soal melanggari peraturan pilihan raya itu menyebabkan terbatalnya kemenangan mereka di kerusi tersebut.

“Saya lihat bahawa pilihan raya kali ini walaupun dalam tempoh sangat singkat, mungkin ia sebenarnya titik permulaan kepada perubahan di peringkat pantai timur,” katanya ketika sesi wawancara di Facebook UMNO Online.

Menurutnya, dalam suasana pengundi anak muda yang berjumlah hampir 77,000, beliau yakin bahawa akan berlaku perubahan dalam memastikan tiada sebarang kesilapan berlaku lagi.

“Dalam beberapa perkara yang saya tengok secara peribadi, Pas dengan begitu yakin apabila Naib Presidennya baru-baru ini dalam ceramah dihadiri oleh ahli-ahli Pas berceloteh katanya ‘letak botol air pun boleh menang’.

“Tapi pada saya dalam suasana anak muda lebih kurang 77,000, iaitu lebih separuh di Kemaman ini, mungkin akan berlaku perubahan untuk pastikan bahawa kali ini tidak akan berlaku kesilapan.

“Sebab itu, calon yang dipertaruhkan oleh kita juga berlainan daripada kebiasaan UMNO/BN lebih-lebih lagi Panglima Angkatan Tentera ini, Tan Sri Raja Mohamed Affandi orang Kemaman dan bukannya petugas parti sepenuhnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kerelevanan Pas meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sedangkan beliau sudah mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan negeri.

“Pada pandangan peribadi saya melihat bahawa kali ini adalah waktu dan juga tempoh yang sangat baik untuk pengundi di Kemaman memberi peluang kepada BN bagi memastikan tidak ada perselisihan di antara kerajaan pusat dan negeri.

“Dalam keadaan hari ini saya fikir calon yang ditawarkan oleh Pas pun bukan calang-calang iaitu Menteri Besar Terengganu sendiri. Tetapi persoalannya, apakah rasionalnya meletakkan calon yang sudah tentu sangat sibuk untuk membangunkan negeri.

“Apakah mampu untuk beliau memikul tanggungjawab ini di samping tanggungjawab di peringkat parti sendiri?” katanya lagi.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.