BN Pilih Raja Mohamed Affandi Kerana Anak Jati Kemaman, Tabur Bakti Pada Negara – Mohamad

KEMAMAN, 22 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah parti meletakkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang merupakan anak jati Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini sebagai strategi bagi menambat hati pengundi.

Katanya, latar belakang Raja Mohamed Affandi juga memainkan peranan penting apabila beliau merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sudah menaburkan bakti sepanjang 43 tahunnya kepada negara.

“Calon ini mempunyai latar belakang yang amat baik bukan hanya anak Kemaman tetapi mempunyai pengalaman kerja di peringkat tertinggi dan banyak jasa kepada negara jadi ini merupakan kriteria mengapa kita memilih Raja Mohamed Affandi sebagai calon.

“Apabila meneliti calon-calon bukan daripada parti kita dapati Raja Mohamed Affandi ini merupakan anak Kemaman dan ini merupakan calon yang saya rasakan boleh kita berikan mandat dan kepercayaan untuk beliau menang pada pilihan raya 2 Disember.

“Beliau boleh membawa suara bukan hanya rakyat Kemaman sebagai anak jati tetapi suara warga tentera dan seterusnya memastikan supaya kesejahteraan dan hal ehwal veteran ini sentiasa mendapat pembelaan walaupun sekarang ini kita membuatnya tetapi sekurangnya ada seorang yang benar-benar bawa suara veteran di dalam kerajaan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memberikan respon tersebut ekoran pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) yang menyifatkan UMNO/BN sebagai ketandusan calon kerana memilih Raja Mohamed Affandi mewakili BN pada PRK ini.

Mengulas lanjut jelas Mohamad tindakan kepimpinan yang memilih calon bukan daripada parti bukan suatu yang janggal kerana ianya pernah dilakukan pada PRK di Semenyih dan Cameron Highland.

“Ini bukan kali pertama BN membawa calon bukan daripada parti, yang pertama parti melakukannya di Cameron Highland di mana kita tidak menurunkan calon daripada parti, bukan ahli parti pun tetapi daripada luar dan sebagai calon BN secara terus. Begitu juga di Semenyih kita menurunkan seorang calon yang bukan daripada kepimpinan dan ahli parti, iaitu setiausaha masjid sahaja.

“Di Kemaman ini kita menurunkan juga apa yang pernah dilakukan di Cameron Highland dan Semenyih untuk beri peluang kepada rakyat dan pengundi jika mereka melihat bahawa dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri mereka tolak calon daripada parti maka kita sekarang ini letak calon bukan daripada parti,” ujar beliau.

Untuk rekod, Raja Mohamed Affandi pada PRK ini berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.