Beri Peluang BN Wakili Kemaman, Pasti Ada Perubahan Demi Kesejahteraan Rakyat

KEMAMAN, 22 Nov – Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Dis depan diseru agar dapat menunaikan tanggungjawab dengan memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai wakil mereka di kawasan itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pasti perbezaan dirasai dan perubahan bakal berlaku untuk kesejahteraan rakyat.

“Tujuan saya dan juga kepimpinan UMNO negeri adalah untuk mendekati pengundi-pengundi bagi mengingatkan pengundi kita sama ada yang lama, muda, lelaki dan wanita berhubung tanggungjawab yang harus dilaksanakan pada 2 Dis nanti. Tidak lain untuk mengubah landskap pembangunan politik dan pembelaan untuk kesejahteraan rakyat di kawasan P.040 Kemaman ini.

“Untuk memberikan keyakinan dan kemenangan untuk calon Barisan Nasional. Ini penting bagi semua kepimpinan UMNO untuk memberikan penjelasan kepada mereka supaya keputusan yang mereka lakukan pada 2 Dis nanti merupakan keputusan untuk generasi masa hadapan, anak-anak, golongan belia, muda termasuk masyarakat tempatan,” kata Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu kepada UMNO Online.

Jalaluddin juga berharap agar rakyat dapat mewujudkan satu wawasan yang luar biasa untuk politik negeri Terengganu.

“Saya mengharapkan supaya kali ini kita mempunyai satu wawasan yang luar biasa untuk politik di negeri Terengganu. Apakah wawasan itu? Wawasan untuk melihat perubahan dan perkembangan yang harus berlaku selepas 2 Dis jika kemenangan ini dapat kita berikan kepada calon Barisan Nasional.

“Kita faham soal dominasi politik di negeri Terengganu sama ada di kawasan Parlimen atau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Maka dengan kefahaman inilah saya harapkan semua golongan dan kawan-kawan, sahabat pengundi sama ada golongan yang duduk di kawasan Kemaman ataupun di luar terutamanya bagi golongan pengundi muda,” katanya.

Terdahulu, Jalaluddin bersama barisan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan bahagian-bahagian turun membantu jentera tempatan berkempen dengan melakukan ziarah kasih dan perjumpaan dengan penduduk di Felda Cerul 1 di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi, 66, merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anak jati Kemaman yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dari University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.