PRK Kemaman: UMNO/BN Perlu Tumpu Beri Tawaran Terbaik Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Nov – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menumpukan kepada tawaran terbaik untuk diberikan kepada rakyat di Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi.

Jelasnya, sekiranya Parlimen Kemaman kekal dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN), ia jelas menunjukkan bahawa mereka tidak terkesan dengan perbuatan rasuah pilihan raya yang berlaku dan telah diputuskan oleh mahkamah.

“Sekiranya Parlimen Kemaman kekal dimenangi oleh PN, ini menunjukkan bukan sahaja mereka tidak terkesan dengan perbuatan rasuah pilihan raya yang berlaku, tetapi juga tidak terkesan sekiranya hubungan federalisme antara pusat dengan kerajaan negeri terus berbeza haluan.

“Dari segi kedudukan politik, situasinya terus bersifat status quo namun kempen PN untuk terus mengubah kerajaan akan kekal berkumandang, kerana mereka akan terus memanfaatkan segala peluang yang ada untuk memastikan momentum tersebut terus hidup.

“Dari segi pembangunan khususnya di Kemaman juga, mereka akan terpaksa bergantung harap kepada kerajaan negeri disebabkan keengganan mereka memilih haluan yang sama dengan Persekutuan,” katanya kepada UMNO Online.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.