PRK: Anak Jati Pilihan Pengundi Kemaman, Bawa Agenda Pembangunan

KEMAMAN, 21 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menjanjikan nafas baharu buat pengundi di sini bagi membawa pembaharuan terutama membabitkan pembangunan sosioekonomi rakyat.

Rata-rata daripada pengundi yang ditemui menyatakan keterujaan mereka apabila calon yang diketengahkan Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah anak jati di kawasan ini.

Bagi Rashdan Razali, 33 tahun, Raja Mohamed Affandi mempunyai kekuatannya yang tersendiri, selain dibesarkan dan mendapat pendidikan di Kemaman beliau juga merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sesuatu yang dibanggakan buat penduduk di kawasan ini.

“Calon BN ini adalah daripada orang tempatan, jadi saya rasa dia lebih mengenali kawasan ini membesar dan bersekolah di sini, malah dia lebih arif dan kenal selok-belok Kemaman termasuk masalah dan potensi yang ada di kawasan ini.

“Dia juga adalah mantan tentera dan lebih teratur dalam sistem pentadbiran, peribadi. Kalau dia menang kita akan dapat pemimpin yang lebih konsisten, pandai untuk mengatur dan tadbir Parlimen Kemaman.

“Saya rasa jika calon ini menang di PRK dia boleh membuat pelbagai penambahbaikan di kampung-kampung di sini,” ujarnya yang merupakan ahli perniagaan.

Begitu juga bagi Pok Awang, 54 tahun, beliau melihat PRK ini wajar dimanfaat sebaiknya oleh pengundi bagi memastikan pembangunan Kemaman dapat diteruskan.

“Dia boleh mewakili pengundi di sini, satu-satunya ahli Parlimen daripada BN untuk negeri ini.

“Memang amat penting sebab di Terengganu tidak ada satu orang pun calon wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen jadi saya minta pengundi di Kemaman, undilah calon BN untuk ketengahkan suara rakyat,” ujar beliau.

Untuk rekod, PRK Kemaman ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Raja Mohamed Affandi dan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Calon BN, Mohamed Affandi berusia 66, merupakan bekas panglima Angkatan Tentera yang sudah berkhidmat 43 tahun dalam pasukan beruniform tersebut.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.