Kemaman Perlu Bersama Kerajaan Perpaduan Demi Pembangunan Berterusan – Ahmad Maslan


KEMAMAN, 21 Nov – Parlimen Kemaman perlu bersama dengan kerajaan Persekutuan bagi meneruskan pembangunan yang telah dilaksana Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu, kata Ahli Majlis Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat di kawasan ini bagi manfaat masa hadapan mereka.

“Apa yang ingin saya nyatakan di sini bahawa pembangunan yang ada di keseluruhan kawasan Kemaman ini adalah dibina, dilaksana ketika zaman BN.

“Oleh itu untuk meneruskan pembangunan yang ada kita perlu berada dengan kerajaan Pusat yang memiliki kewangan kukuh untuk membantu rakyat.

“… dan harapan ialah PRK Kemaman ini menjadi jambatan kepada hubungan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, ianya penting kerana BN tidak ada satu kerusi pun sama ada di peringkat negeri atau Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan ‘walkabout’ untuk menemui pengundi di Kampung Kuala Kemaman, Cukai, semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pontian berkata, ahli Parlimen adalah jambatan antara rakyat dan peringkat Pusat terutama daripada parti yang bersama kerajaan bagi memudahkan lagi agenda pembangunan di kawasan.

Malah katanya calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hanya berada di blok pembangkang dan tidak akan berupaya membawa pembangunan sewajarnya kepada keseluruhan Kemaman meskipun beliau merupakan Menteri Besar Terengganu.

“Jika ada satu kerusi di sini bererti kita akan menjadi jambatan kerana jurucakap kepada Parlimen Kemaman iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamad Affandi Raja Mohamed Noor boleh menyatakan permohonan secara terus atau dalam Dewan Rakyat dan tentunya akan didengar lebih oleh kerajaan Persekutuan.

“Saya mengharapkan agar difikirkan baik-baik sebelum keluar mengundi kerana jika Dr Ahmad Samsuri menang pun kawasan ini tetap menjadi ahli Parlimen pembangkang.

“Jadi saya mengharapkan agar pengundi di Kemaman berfikir dalam-dalam kerana negeri mereka telah beri kepada Perikatan Nasional, jadi apa salahnya Parlimen diberi kepada Kerajaan Perpaduan menerusi calon BN,” ujar beliau.

Untuk rekod, PRK Kemaman ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Raja Mohamed Affandi dan Dr Ahmad Samsuri.

Calon BN, Mohamed Affandi berusia 66, merupakan bekas panglima Angkatan Tentera yang sudah berkhidmat 43 tahun dalam pasukan beruniform tersebut.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia, dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.