Rakyat Perlu Fikirkan Kepentingan Mereka, Jangan Pilih Bersandarkan Sentimen

KEMAMAN, 20 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata rakyat di Kemaman perlu memikirkan kepentingan dan kebajikan mereka dalam membuat pilihan di Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Ujarnya, rakyat perlu memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pernah berbakti kepada rakyat di Kemaman.

“Parti memilih beliau sebagai calon kali ini, tidak pernah berlaku sebelum ini. Lima penjawat awam pangkat tertinggi di Malaysia… inilah kali pertama yang diberi ruang untuk bertanding dan beliau menyahut cabaran untuk menyambung perjuangan.

“Bila kita ada wakil rakyat satu di Terengganu ini, peruntukan dan sebagainya akan diberikan kepada rakyat. Politik ini mesti ada untung rugi untuk rakyat, bukan ikut sentimen, ikut perasaan… saya tahu, Pas akan main duit lagi apatah lagi menteri besar yang bertanding… dia beri duit ambil, undi BN,” katanya kepada media.

Beliau ditemui selepas sesi sembang santai bersama veteran ATM di Kelab Golf Rantau Petronas, Kertih di sini tengah hari tadi.

Ulas bekas Menteri Besar Terengganu itu, rakyat Kemaman memerlukan seorang wakil yang mudah bertemu dan dapat memberi khidmat sebaiknya, bukannya individu yang sibuk dengan pelbagai komitmen serta kawasan yang perlu dijaga.

“Saya nak minta rakyat Kemaman pilih kita kali ini yang mewakili satu daripada lapan. Sekarang ini lapan bahagian (Parlimen) dimenangi oleh Pas, apa yang rakyat dapat? Tiada peruntukan… tiada komitmen.

“Apatah lagi menteri besar… menteri besar turun bertanding di sini, tugas menteri besar sibuk dan apatah lagi di Parlimen. Kalau bajet hampir dua bulan. Beri ruang kepada orang lain untuk berkhidmat.

“Kawasan dan DUN (Dewan Undangan Negeri) dia, dia turun tak? Banjir dua kali berturut-turut ‘takde’ dalam negara,” bidasnya kepada Menteri Besar Terengganu yang juga calon Pas bagi PRK Kemaman Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sehubungan itu, Ahmad Said menegaskan perlunya anak tempatan diberi peluang selari dengan ‘Kemaman untuk Kemaman’.

“Tak sepatutnya bertanding, berilah peluang kepada anak Kemaman untuk bertanding. Bila lagi ‘Kemaman untuk Kemaman’. Kita ingin melihat… dulu tolak menteri ambil Ustaz Alias apa yang orang Kemaman dapat?

“Menteri Besar takkan dapat menjaga empat DUN dalam Parlimen Kemaman ini. Kalau DUN dia tak jaga, tak turun, harapkan memang Rhu Rendang kawasan kuat dan deposit tetap di situ, apatah lagi tempat lain,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.