Saya Orang Kemaman, Tiada Sebab Pergi Bertanding Di Tempat Lain – Raja Mohamed Affandi

KEMAMAN, 19 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata tujuan utama beliau menawarkan diri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini adalah untuk memberikan kembali khidmat di kawasan yang sangat dekat di hatinya.

Membesar di Kemaman dan sepenuhnya bersekolah di sini, Raja Mohamed Affandi berkata tiada sebab untuk beliau untuk bertanding di kawasan lain.

“Saya orang Kemaman, mak ayah dan adik beradik meninggal di sini. Ya, ini semua sebab Kemaman. Sebab apa saya hendak pergi tempat lain? Sebab saya orang Kemaman, apabila ditawarkan saya balik fikir duduk dengan isteri dan anak-anak.

“Hari tu pergi ke pasar, ada kenalan tegur ‘mu mane’. Rakan-rakan masih kenal saya lagi… namun untuk generasi muda, saya ini bukan orang lain tapi ‘sekampungmu’.

“Saya kira satu ‘tu’ ‘se’ bukan ‘so’, bukan loghat lain. Kemaman yang menguatkan saya untuk balik. Kalau tempat lain nak buat apa?” katanya.

Beliau berkata demikian pada ‘Set mung, inilah calon kite’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas bekas Panglima Angkatan Tentera berkata begitu banyak jasa yang diperolehi dirinya sepanjang membesar di sini dan menyifatkan PRK ini sebagai peluang untuk menaburkan baktinya selepas berkhidmat kepada negara sebagai anggota beruniform.

Bercakap berkenaan pengorbanan seandainya diberi peluang menggalas amanah sebagai ahli Parlimen di kawasan ini, beliau berkata setiap yang berlaku mempunyui hikmahnya yang tersendiri.

“Apa yang saya peroleh akan diberi balik kerana saya ini dapat benda yang baik. Jadi apabila nampak ruang, ini peluang untuk saya bagi balik kepada masyaarakat, itu niat saya. Hari-hari saya fikir dan dalam doa, tetapkan niat saya untuk buat bakti.

“Kalau tidak sanggup, saya tidak ambil. Jadi pengorbanan ini pada keluarga juga untuk turut memahami kenapa memilih jalan ini. Kita rasa begitu tetapi mungkin ada lagi yang perlu sebab benda berlaku dengan sebab.

“Dalam sisa hidup hendak buat yang dapat ganjaran pahala untuk benda (khidmat) seperti ini,” ujarnya.

Dalam itu ketika diminta mengulas mengenai pencabarnya, Raja Mohamed Affandi berkata pertembungan dalam pilihan raya adalah sama seperti di medan perang iaitu memperkuatkan kekuatan pasukan untuk kemenangan.

Jauh sekali untuk merasa takut dengan lawannya, namun beliau berkata dalam pada masa sama tidak memandang rendah dengan segala kemungkinan yang ada.

“Kalau buat perkiraan ini adalah benda yang sama kerana dalam perang ada musuh, kawasan dan eleman lain iaitu manusia (tentera). Sama juga politik ada pihak lawan, medan, tentera tapi dalam hal ini rakyat.

“Sama juga di sini untuk mendapat kejayaan elemen lapangan kita guna dengan manusia. Jadi jentera yang ada akan ubah situasi itu daripada perkara yang kita rasa sukar sebenarnya ianya tidak kerana menggunakan semua elemen-elemen yang ada untuk mengatasi kekuatan musuh.

“Sebagai askar kita tak pandang rendah pada lawan tapi dalam masa sama jangan takut, kita lawan. Sebab kita tahu elemen-elemen ini yang akan membantu lagi dan memberikan kebarangkalian untuk mengatasinya lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, pada PRK ini Raja Mohamed Affandi menghadapi saingan dua penjuru daripada Pas yang mengetengahkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

PRK diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK Parlimen P.040 Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.