PRK Kemaman: Calon BN Kagum Kesatuan Jentera Parti

KEMAMAN, 19 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Mohamed Noor menyatakan kekaguman atas kesatuan yang ditunjukkan oleh jentera parti.

Kata bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, ia bukan sahaja ditunjukkan oleh jentera BN malah rakan-rakan parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan dengan matlamat meraih kemenangan.

“Saya telah bertemu dengan banyak (jentera). Saya nampak kali ini memang luar biasa. Sebab saya waktu dulu pernah melihat dari jauh bagaimana… saya lihat kali ini Barisan Nasional dan komponen yang lain di bawah Kerajaan Perpaduan ini, mereka ada kesatuan dan ada matlamat… nampak jelas,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas sesi ramah mesra bersama jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Chabang, di sini tengahari tadi.

Memasuki hari kedua berkempen, Raja Mohamed Affandi bersyukur atas penerimaan rakyat yang ditemuinya.

“Hari ini adalah hari yang kedua saya telah berkempen selepas pengisytiharan pencalonan. Saya tidak buang masa kerana masa bagi saya emas, dalam keadaan waktu yang singkat.

“Alhamdulillah, saya nampak sambutan dan air muka mereka… saya yakin mereka bersama Barisan Nasional dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Begitu juga menyentuh mengenai keadaan cuaca hujan lebat sejak awal pagi tadi, Raja Mohamed Affandi berkata ia tidak menjadi halangan baginya untuk bertemu dengan seberapa ramai masyarakat setempat.

Ketika ditanya oleh media mengenai apa permasalahan yang diterima dari rakyat ketika berkempen, beliau berkata ia akan menjadi input baginya untuk dilaksanakan kelak sekiranya diberikan kemenangan.

“Dalam masa berkempen ini saya tumpukan, ambil, dengar dan prihatin kepada apa yang disuarakan oleh mereka sebagai input bagi saya… untuk nanti apa yang boleh saya buat jika menang. Apa yang saya boleh bantu mereka dengan segera. Sahut apa yang mereka nyatakan selama ini.

“Dalam hal ini, apa yang jelas… apa yang kita boleh bawa untuk memajukan Kemaman selaras dengan apa yang dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada semalam, 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula semalam hingga detik 11.59 malam, 1 Dis.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dari BN dan Pas pula mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.