‘Tak Mustahil Birukan Kemaman’ – Raja Mohamed Affandi

KEMAMAN, 18 Nov – Tidak mustahil untuk mengalihkan Kemaman kepada warna biru iaitu warna logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman 2 Disember ini, kata calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamad Affandi Raja Mohamed Noor.

Optimis dengan sokongan pengundi di sini, beliau berkata kehadiran beliau adalah untuk berkhidmat kembali kepada rakyat Kemaman selepas segala bakti yang diperoleh beliau termasuk membesar di kawasan ini.

“Setiap langkah itu adalah untuk memberi balik apa yang telah saya perolehi selama ini, jadi saya masuk dalam dewan tadi rasa satu medan untuk perang balik dalam bentuk yang lain.

“… dan saya rasa dengan medan yang baik kita urus tidak mustahil akan alihkan warna biru di Kemaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media selepas penamaan calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini.

Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sudah berkhidmat selama 43 tahun berkata pengundi di sini perlu membuat pilihan sebaiknya iaitu dengan memilih calon yang berasal dari Kemaman.

“Mesti tahu saya orang sini jadi senang cakap ‘Kemaman untuk Kemaman’. Jadi saya balik ke sini sebagai orang Kemaman dan berbakti untuk orang di sini,” ujar beliau.

Untuk rekod PRK Kemaman ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Raja Mohamed Affandi dan calon daripada Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi berusia 66, merupakan bekas panglima ATM yang sudah berkhidmat 43 tahun dalam pasukan beruniform tersebut.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia, dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.