Raja Mohamed Affandi Sah Calon BN Di PRK Kemaman

KEMAMAN, 18 Nov – Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sah menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Raja Mohamad Affandi menghadapi saingan dua penjuru daripada Pas yang mengetengahkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kedua mereka tiba bersama-sama pencadang dan penyokong, masing-masing pada jam sembilan pagi tadi, pencadang daripada BN adalah Datuk Seri Ahmad Said dan penyokong Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Senarai calon bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen, Ahmad Farhan Abdul Wahab di pusat penamaan calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini.

Untuk rekod, Raja Mohamad Affandi yang pertama kali bertanding pada pilihan raya adalah bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang sudah berkhidmat 43 tahun dalam pasukan beruniform tersebut.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK Parlimen P.040 Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.