BN Bawa Calon Terbaik, Diterima Rakyat Dan Jentera Parti – Tok Mat

KEMAMAN, 18 Nov – Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan calon terbaik daripada Barisan Nasional (BN) untuk mewakili parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pencalonan Raja Mohamed Affandi itu diterima baik semua pihak terutama jentera parti.

“Seperti yang telah kita ketahui beberapa hari sebelum ini BN meletakkan calon yang terbaik, diterima oleh semua pihak iaitu parti dan jentera.

“Jadi alhamdulillah calon kita Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudi mewakili parti kita BN dalam PRK Kemaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media selepas penamaan calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam pada itu mengharapkan jentera parti menggerakkan gerak kerja sebaiknya kerana ianya merupakan elemen penting ketika mengharungi pilihan raya.

Tambah beliau lagi, kesempatan untuk berkempen ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekati pengundi seramai mungkin bagi memperkenalkan calon dan menyampaikan aspirasi parti.

“Dalam pilihan raya sama ada kecil, negeri atau umum kekuatan jentera atau gerak kerja efisien adalah elemen yang sangat penting.

“Penamaan calon telah dibuat kita punya calon nombor satu, dan selepas ini tugas jentera untuk menyusun gerak kerja sehinggalah tengah malam 1 Disember.

“Gerak kerja berfokus yang penting adalah mendekati supaya pengundi kita yang dahulu iaitu ahli UMNO/BN itu sendiri dan kemudian mendekati seramai mungkin pengundi,” ujar beliau.

Untuk rekod PRK Kemaman ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Raja Mohamed Affandi dan calon daripada Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi berusia 66, merupakan bekas panglima ATM yang sudah berkhidmat 43 tahun dalam pasukan beruniform tersebut.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia, dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.