Khidmat Kepada Rakyat Tidak Asing, Platform Politik Diberi BN Dimanfaat Sebaiknya – Raja Mohamed Affandi

 

KUALA LUMPUR, 17 Nov – “Sebenarnya 43 tahun dalam tentera ni tidak jauh beza terutama apabila kita sentiasa akrab bersama masyarakat kerana salah satu penugasan tentera adalah sentiasa bersama rakyat.”

Demikian luahan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkenaan jalinan mesra beliau bersama rakyat selama memberikan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Apabila saya diberi tawaran untuk menjadi calon di tempat saya, ianya bukan hanya bagi diri ini tetapi sebagai penghormatan juga kepada penduduk setempat kerana anak yang lahir daripada kampung tersebut balik ingin berbakti kepada tempat di mana dia dibesarkan.

“Saya menganggap ini sebagai satu anugerah untuk disempurnakan dan rasa tidak ada lain dapat diberi kepada masyarakat di sana kecuali berbakti balik kepada mereka. Saya telah berada di peringkat nasional selama 40 tahun lebih, jadi waktu sisa dimiliki ini untuk berbakti balik kepada orang kampung,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Jelas bekas Panglima ATM itu yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan, peluang yang diberikan ini merupakan masa terbaik untuk meneruskan khidmatnya kepada masyarakat menerusi platform politik iaitu UMNO/BN kepada masyarakat kerana Kemaman merupakan kawasan yang begitu dekat dengannya kerana dibesarkan di situ.

“Ia (membantu rakyat) adalah sesuatu telah ada dalam diri tetapi bentuk dan organisasi yang berbeza tetapi asasnya itu adalah sama iaitu memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat yang memerlukan, bagi askar tahap tertinggi adalah menggadai nyawa.

“Dalam tentera saya meletakkan kepentingan tugas, begitu juga dalam politik kerana meskipun baharu sahaja menceburkan diri tapi menjadi seorang wakil rakyat adalah dengan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan diri,” ujar beliau.

Mengimbas kembali ketika perkhidmatannya dalam ATM, Raja Mohamed Affandi berkongsi beberapa peristiwa yang segar dalam ingatannya ketika menyertai misi bantuan bencana alam.

Katanya, ini termasuk banjir besar yang pernah melanda di beberapa negeri pantai timur pada 2013 dan 2014 lalu.

“Saya banyak sertai aktiviti masyarakat namun salah satunya adalah pada 2013 waktu banjir besar di Kemaman waktu itu yang ada di kawasan Air Putih, Seberang Tayor yang betul-betul terputus dan banjir ketika itu satu tentangan kerana tidak terfikir waktu itu akan terputus bukan sahaja hubungan jalan tetapi juga komunikasi sebab telefon bimbit tidak dapat dicas, berita terkini tidak dapat disalurkan jadi ianya sangat sulit.

“Waktu itu saya turun bersama dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk memberi bantuan dengan helikopter dan sebagainya tapi peristiwa yang saya tidak dapat lupakan.

“Apabila saya meletakkan keperluan tanggungjawab itu melebihi peribadi iaitu banjir di Kelantan sekitar Disember 2014, pada waktu itu anak saya baharu menikah kemudian seminggu selepas itu ketika itu hendak hantar ke rumah keluarga besan, saya tidak dapat lakukan kerana waktu itu perlu berada di Kelantan,” kongsi beliau.

Untuk rekod, BN mengumumkan Raja Mohamed Affandi sebagai calon pada PRK Kemaman pada Isnin lalu selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Susulan daripada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen P.o40 Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.