Pertahankan Imej UMNO… Teruskan Perjuangan Demi Agama, Bangsa, Negara

Pelbagai perkara berlaku dalam arena politik negara hari ini namun yang pasti kesejahteraan rakyat dan negara perlu terus dipelihara. Apa-apa juga yang berlaku adalah demi kesinambungan perjuangan UMNO dari dulu, kini dan selamanya – insya-Allah. Inilah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air.

Justeru, apa-apa cubaan atau dakwaan negatif yang memburukkan parti perlu ditangkis malah ditolak lantaran UMNO terlalu banyak jasanya.

Memang tak dinafikan, ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan keberadaan UMNO, dahulu cuba nak menguburkan parti keramat ini, meninggalkan perjuangan dan beralih kepada pihak lawan namun UMNO yang kononnya didakwa akan mati kini telah kembali kukuh.

Ini kerana UMNO bukanlah parti yang berpaksikan kepada individu atau orang perseorangan sebaliknya ia adalah perjuangan dari segenap ahli-ahli akar umbi yang tulus ikhlas dalam meneruskan hasrat mahukan kedaulatan negara dipertahan, agama Islam terus diangkat dan bangsa menjadi keutamaan.

UMNO bukanlah parti yang ortodoks tetapi bersifat dinamik, berubah mengikut zaman dan relevan dalam setiap generasi dengan perjuangannya meresap ke akar umbi dan melata ke setiap pelusuk negara. Kelangsungan perjuangannya mengikut zaman sebagaimana kepimpinan yang silih berganti tetapi asas dan tujuannya tidak pernah berubah.

Lihat Sabah sahaja, pembangunan hasil perjuangan UMNO yang tidak ada sesiapa boleh menafikan. Lebuhraya Pan Borneo adalah bukti nyata bahawa UMNO membawa perubahan, memberi kemajuan, menyemai harapan dan merealitikan suatu mimpi masyarakat untuk mencapai kejayaan.

Biarpun ada pihak yang menjadi api dalam sekam, duri dalam daging dan menjadikan UMNO sebagai batu loncatan untuk mengecap kemewahan, namun UMNO tidak pernah berubah sebaliknya individu atau pihak terbabit yang akan alah.

Biarlah mereka yang telah menjadi kacang lupakan kulit dan meninggalkan perjuangan sebenar setelah mengecap kemewahan, bersenang-lenang, bergelar dan berpangkat hasil daripada kedudukan yang berpaksikan UMNO namun kemudiannya hari ini lupa diri lantas meninggalkan parti. Tak apalah… UMNO masih juga terus gagah kerana UMNO bukan parti individu.

UMNO adalah parti yang mempunyai struktur yang mantap, organisasi yang tersusun, ada Perlembagaan dan peraturan serta patuh kepada undang-undang, malah dapat menunjukkan kepada parti-parti lain termasuklah serpihan UMNO, mengenai pelbagai kaedah waima pentadbiran dan mendepani pelbagai krisis.

UMNO ini telah menjadi suara dalam semua latar belakang, dari golongan muda bergelar mahasiswa, belia, hinggalah kepada pengamal profesional; dari ceruk desa sebagai petani, pesawah, penoreh dan nelayan hinggalah ke pekan-pekan dan bandar-bandar membawa ke Ibu Kota, dan hari ini UMNO terus meniti keupayaan untuk kembali teguh dan mendapatkan sokongan.

Apa yang pasti, khidmat bakti yang berterusan akan tetap dilaksana oleh UMNO,
bukan bermusim dan bukan hanya apabila menjelangnya pilihan raya sahaja, bukan juga berdrama atau bermuka-muka namun inilah tanggungjawab tulus ikhlas sepenuh hati demi memastikan setiap individu mendapat pembelaan, merasai keselesaan dan berkongsi kesejahteraan bersama.

Walaupun UMNO telah diasak dengan pelbagai tohmahan serta berdepan dengan pelbagai cabaran, namun syukur alhamdulillah kerana parti ini terus berupaya untuk kembali ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’. Marilah kita teruskan perjuangan demia kesinambungan agama, bangsa dan negara.


Sharif Musa Sharif Mabul
Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu

*************************************


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit