Galakkan PKS Wanita Sertai Eksport Negara, Noraini Cadang MITI Kolaborasi Dengan Pelbagai Institusi Kewangan

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mencadangkan agar Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri meningkatkan lagi kolaborasi bersama institusi-institusi kewangan agar dapat menggalakkan pemilik Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) khususnya wanita dapat menjadi pengeksport negara.

Ini kerana katanya, bagaimanakah Program Daya Saing Negara ini boleh membantu dan memberi impak kepada Dasar Pemerkasaan Pembangunan Ekonomi Wanita khususnya kepada pemilik PKS Bumiputera yang masih memerlukan lonjakan.

“Bagaimana Program Daya Saing Negara ini boleh membantu dan memberi impak kepada Dasar Pemerkasaan Pembangunan Ekonomi Wanita khususnya kepada pemilik PKS wanita bumiputera yang dilihat masih memerlukan lebih banyak lagi lonjakan?

“…dan sehingga kini berapa banyakkah PKS yang telah menerima manfaat menerusi Skim Pinjaman Mudah Digital dan Teknologi ini?

“Bagi tujuan pinjaman mudah ini saya lebih suka untuk beri penekanan kepada pemilik PKS wanita bumiputera kerana terdapat kajian yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), menunjukkan peratusan golongan wanita mendapatkan pinjaman perniagaan lebih rendah berbanding golongan lelaki,” katanya ketika Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Perbelanjaan Pembangunan 2024 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia itu turut berkata, program ataupun skim khas khususnya untuk pemilik PKS wanita bumiputera boleh menjadi salah satu inisiatif dan wawasan negara bagi meningkatkan penyertaan mereka sebagai pengeksport negara.

“Jadi saya cadangkan agar kementerian meningkatkan lagi kolaborasi bersama dengan institusi-institusi kewangan dan mewujudkan satu program atau skim khas, khusus untuk pemilik PKS wanita. Mereka akan diberi bimbingan penuh dari skim pinjaman mudah sehingga dana untuk mengeksport dan pelbagai lagi.

“Ini sebagai satu inisiatif dan wawasan negara untuk meningkatkan lagi penyertaan PKS wanita sebagai pengeksport negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memberikan lebih peruntukan bagi membantu syarikat-syarikat pertengahan kepunyaan wanita bumiputera.

“Bagi butiran ini saya lihat peruntukannya agak ‘stagnant’ dan tiada peningkatan berbanding butiran-butiran yang lain. Saya mencadangkan agar MATRADE memperuntukan lebih banyak lagi peruntukan bagi membantu syarikat-syarikat pertengahan kepunyaan bumiputera dan wanita.

“Sebelum ini menerusi Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera dan Wanita kerajaan telah meletakkan sasaran 30 peratus peningkatan pengeksport wanita dalam masa 3 tahun, adakah sasaran ini telah dicapai?

“…dan saya ingin tahu berdasarkan rekod Daftar Pengeksport Malaysia MATRADE berapakah jumlah sebenar syarikat milik wanita yang telah berdaftar sebagai pengeksport sejak 2018 sehingga kini?” soalnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.