PRK Kemaman: Raja Mohamed Affandi Hargai Kepercayaan BN, Sedia ‘Bayar Balik’

KUALA LUMPUR, 13 Nov Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang memilih beliau selaku calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Dis depan.

Katanya, kepercayaan ini adalah nilai yang sangat tinggi dan beliau akan berusaha dalam PRK terbabit.

“Saya ucapkan setinggi terima kasih. Kepercayaan itu adalah nilaian yang sangat tinggi dan saya akan berusaha untuk menentukan kepercayaan itu saya ‘bayar balik’. Kalau kata orang Terengganu ‘beri kita undi… mu tengok nanti’” katanya.

Terdahulu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemilihan beliau dalam Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato’ Onn hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, keputusan meletakkan bekas Panglima ATM berusia 65 tahun itu dipersetujui pimpinan Dewan Tertinggi BN serta pemimpin akar umbi BN di Parlimen Kemaman.


PROFIL CALON BN PRK PARLIMEN KEMAMAN

Nama: Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor.
Tempat lahir: Kampung Raja Besut, Terengganu.
Tarikh lahir: 20 Jun 1957 (dibesarkan di Kemaman).
Pendidikan sekolah: menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail.
________________________________________
Kerjaya:
• Beliau mengikuti latihan sebagai bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi sebagai Pegawai Kadet.
• Beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 25 Mei 1977.
________________________________________

PERKHIDMATAN TENTERA:
• Memegang pelbagai jawatan sebagai Pemerintah dan Pegawai Staf dalam organisasi ATM.
• Dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral pada 2008 dan memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat, kemudiannya menjawat jawatan Ketua Staff Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai 31 Oktober 2009.
• Dinaikkan ke pangkat Jeneral dan memegang jawatan Panglima Tentera Darat mulai 15 Jun 2013.
• 16 Disember 2016, diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.