Ahmad Zahid Dan Kepimpinan Parti Yakin Keupayaan Raja Mohamed Affandi Bertanding Di PRK Kemaman

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dengan keupayaan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk bertanding di kawasan terbabit pada 2 Disember depan.

Katanya, ini bukanlah kali pertama bagi BN mengemukakan calon di luar daripada kepimpinan UMNO kerana dalam PRK Cameron Highlands, iaitu Datuk Ramli Md Noor telah dilakukan.

“Yang paling penting pada kali ini Dewan Tertinggi BN dan juga kepimpinan tertinggi UMNO serta pengerusi-pengerusi Perhubungan telah membuat kesepakatan bahawa pada kali ini kita akan mengemukakan seorang tokoh di luar daripada kepimpinan UMNO untuk kita ketengahkan sebagai calon BN di Kemaman.

“Kita telah melihat latar belakang di Kemaman iaitu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu biarpun BN tidak cukup 27 ribu undi untuk menduduki kerusi Parlimen Kemaman namun kita merasakan bahawa Kemaman bukan kubu kuat Pas.

“Kemaman adalah kubu kuat UMNO namun disebabkan oleh terjahan isu, fitnah dan juga simbahan kebencian terhadap UMNO dan BN serta penggunaan sumber-sumber kewangan yang sangat luar biasa pada ketika itu maka kita kekurangan 27 ribu undi di Kemaman,” katanya dalalam sidang media semasa mengumumkan calon BN untuk bertanding dalam PRK Kemaman, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, dengan persetujuan Perhubungan dan BN Negeri Terengganu dan persetujuan rakan-rakan ketua-ketua UMNO Bahagian-bahagian maka dirasakan tiba ketikanya UMNO meletakkan seorang tokoh mewakili BN di Kemaman.

“Maka saya dengan ini merasakan bahawa tokoh itu yang telah banyak jasa kepada negara, di luar bidang politik dan beliau menyatakan kesediannya untuk menawarkan diri atas tawaran daripada kempimpinan BN/UMNO bahawa keberadaan beliau di dalam kerjaya yang telah beliau lalui adalah atas jasa BN/UMNO maka
beliau berhasrat membalas jasa UMNO.

“Biarpun beliau tahu bahawa sebagai seorang calon tentu ada risiko yang beliau terpaksa hadapi namun pada hemat kami bahawa semangat beliau untuk mewakili UMNO atas tiket BN adalah sesuatu yang luar biasa. Kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada beliau,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.