Parlimen: Shamsulkahar Mengharapkan Pembangunan Sosioekonomi Jempol Menerusi Belanjawan 2024

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli mengharapkan pertimbangan kerajaan dalam membangunkan sosioekonomi daerah Jempol menerusi konteks Belanjawan 2024.

Beliau yang bertanyakan berkaitan hal terbabit meminta penjelasan Unit Perancang Ekonomi (UPU) berkaitan hal terbabit menerusi sesi dalam Dewan Rakyat, semalam. 

Pada masa yang sama beliau ingin tahu apakah pertimbangan pihak kerajaan terhadap cadangan Zon Perindustrian Agropolis di daerah berkenaan dalam usaha melebarkan lagi industri terbabit.

“Penyelarasan industri memproses produk agrikomoditi dan pertanian di Jempol akan menjimatkan kos penghasilan barangan kerana faktor logistik yang lebih rendah memandangkan bahan mentah utama adalah terletak di daerah Jempol sendiri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Malahan kata beliau lagi dengan pembinaan Lebuhraya Madani Seremban-Jempol yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri  baru-baru ini, Jempol juga berpotensi menjadi Pelabuhan Darat iaitu sebagai hub logistik pengedaran produk agrikomoditi dan pertanian ke seluruh negara.

“Ini bertepatan dengan agenda kerajaan dalam Mempertingkatkan Potensi Ekonomi Wilayah. Pembinaan pelbagai kilang pemprosesan produk agrikomoditi dan pertanian di Jempol ini juga akan memberi peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada penduduk Jempol dan kawasan sekitar,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.