KKDW Melalui KEMAS Mempergiat Usaha Meningkatkan Kesejahteraan Masyarakat Desa

KERAJAAN Perpaduan MADANI merupakan wadah bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan, demi mewujudkan masyarakat yang madani, berteraskan nilai-nilai yang telah disepakati bersama berlandaskan lunas-lunas perlembagaan negara.

Usaha Kerajaan Perpaduan MADANI pada hari ini juga telah memberikan penekanan khusus kepada golongan sasar dengan menyediakan bantuan serta dukungan kepada yang memerlukan agar semua mampu mengecap nikmat pembangunan ekonomi negara secara saksama.

Dalam menjayakan usaha murni ini, Kerajaan perlu memaksimakan potensi setiap agensi yang berkaitan dalam melaksanakan apa jua perancangan dan pelan tindakan ke arah mencapai sasaran Agenda Madani yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita boleh melihatkan tumpuan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi di bawahnya untuk melaksanakan misi dan visi sebagai peneraju kemajuan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan.

Dalam konteks ini, tumpuan boleh terarah kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat atau lebih sinonim dikalangan khalayak umum sebagai KEMAS sebagai salah satu agensi yang bernaung di bawah KKDW yang telah mengakar umbi di setiap pelusuk negara. Nama KEMAS itu sendiri telah menjadi begitu sinomim dalam kehidupan sebahagian besar masyarakat di Malaysia.

Mengimbau sejarah penubuhannya pada awal tahun 1990, komitmen KEMAS memberi tumpuan kepada usaha pembangunan sumber manusia yang lebih menyeluruh telah dilaksanakan melalui pendekatan pendidikan non-formal dan pendidikan seumur hidup. Antara program yang diwujudkan adalah Pendidikan Literasi Fungsian (PLF), Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK), Pendidikan Kecemerlangan Kanak-Kanak (PEKA), Kelas Bina Insan, Gerakan Desa Wawasan (GDW), Kelas Literasi Komputer dan Perpustakaan Masyarakat.

Dalam kata lain, KEMAS berperanan bertanggungjawab untuk memajukan masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman. Ini melibatkan pelbagai usaha untuk meningkatkan taraf hidup, pendidikan, dan kesejahteraan masyarakat tempatan.

KEMAS sehingga kini giat memberi penekanan ke arah meningkatkan jurang pendapatan masyarakat di bandar dan luar bandar, KEMAS turut memperkenalkan beberapa program dalam melahir dan memperkasakan usahawan melalui program Quick Win dan Kelas-kelas Kemahiran KEMAS.

Quick Win KEMAS merupakan kursus jangka pendek yang dapat memberi kesan segera kepada pelatih memulakan perniagaan bagi menjana pendapatan. Melalui strategi ini, KEMAS melaksanakan kursus kemahiran asas yang boleh memberi peluang perniagaan dan pekerjaan terus kepada pelatih KEMAS setelah tamat mengikuti latihan.

Melalui kelas-kelas Kemahiran KEMAS, program ini dilaksanakan untuk memberi peluang kepada kumpulan sasar untuk meningkatkan kemahiran sedia ada dan dalam masa yang sama, ia turut memberi peluang kepada kumpulan sasar untuk mempelbagaikan sumber pendapatan melalui ilmu kemahiran dan seterusnya berupaya menambah pendapatan.

Usaha ini bersifat menyeluruh tanpa ada mana-mana negeri di Malaysia yang terkecuali. Bukan sahaja di KKDW, tetapi hampir setiap kementerian melalui inisiatif masing-masing telah berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat.

Ini juga jelas membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak menafikan hak-hak yang sepatutnya dinikmati oleh semua rakyat. Boleh dikatakan bahawa tidak ada relevannya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Kerajaan Perpaduan telah bersikap pilih kasih dan menganaktirikan beberapa negeri yang tidak sehaluan politik dengan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, marilah kita melihat dan berfikir dengan lebih rasional terhadap keupayaan Kerajaan Perpaduan MADANI. Apa yang dilaungkan oleh Kerajaan terbukti bukan hanya omongan kosong, tetapi pelaksanaan dan impaknya sebahagiannya telah dapat dirasai oleh semua.

Semoga kerajaan pada hari ini terutamanya KKDW terus istiqamah dalam mencernakan peluang pembangunan desa dan luar bandar serta mewujudkan pembangunan mampan, berimbang dan saling melengkapi antara aspek sosial, ekonomi dan alam semulajadi.

Oleh: KKDW

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.