PRK: Berikan Undi Pada PH Demi Kestabilan Kerajaan Perpaduan – Azman Ismail

BAKRI, 5 Sept – Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail mengakui bahawa bukan mudah untuk ahli-ahli UMNO memangkah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram namun yakin ia tidak mustahil demi Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, ia sesuatu perkara yang baharu namun atas pengalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tentunya anggota parti memahami keperluan dalam tuntutan demi kestabilan masa hadapan. 

“Kita perlu mencari formula baharu iaitu menerangkan kepada ahli-ahli UMNO hingga ke akar umbi agar mereka memahami keperluan Kerajaan Perpaduan sekarang ini.

“Kita perlu fahamkan akar umbi UMNO supaya memangkah PH. Sekiranya tidak dijelaskan dengan sebenar-benarnya sudah pasti mereka akan menolak. Kita tidak mahu ketidakstabilan politik berlaku di negara ini dan ia perlu dijelaskan bahawa inilah titah Agong yang mahukan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama Azman turut mengimbau semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, keputusan menunjukkan UMNO/Barisan Nasional (BN) menduduki tangga ketiga di DUN Simpang Jeram disebabkan peratusan keluar mengundi terlalu rendah.

“Pada PRN lalu kedudukan UMNO/BN hanya nombor tiga iaitu 6,062 undi berbanding PH dan peratusannya hanya 55 peratus sahaja. Antara sebab kerana ramai yang tidak berani keluar mengundi pada masa itu termasuk masalah COVID-19. Masing-masing masih takut hendak keluar mengundi malah di kawasan Sungai Abong pengundi tidak keluar hampir dua ribu orang.

“Sekiranya pada masa tersebut orang Melayu keluar mengundi dan menyokong BN sudah pasti calon BN menang sebenarnya tapi kali ini kita mengharapkan orang Melayu keluar mengundi PH,” jelas beliau.

Kata Azman lagi, sebenarnya rakyat Johor bersifat sederhana dan menolak sifat-sifat luar yang ekstrem yang datang ke DUN Simpang Jeram ini.

“Kita mahukan politik yang stabil dan tidak mahu tambah pembangkang di DUN ini. Cukuplah apa yang ada,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.