Presiden UMNO Manfaatkan Ruang, Platform Yang Betul Untuk Membersihkan Maruah – Noor Azleen

JOHOR BAHRU, 5 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memanfaatkan ruang dan platform yang betul untuk membersihkan nama serta mengembalikan maruah beliau.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Ahmad Zahid ternyata memberikan kelegaan kepada para pimpinan UMNO setiap peringkat.

“Sudah tentulah kami Pergerakan Pemuda UMNO Johor mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membebaskan (namun tidak melepaskan) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan ke atas beliau.

“Satu keputusan yang saya yakin memberikan kelegaan kepada pimpinan UMNO di setiap peringkat.

“Keputusan Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding dengan mengemukakan 11 hujah dan alasan juga jelas menunjukkan bahawa segala pertuduhan dihadapi beliau sebelum ini bersifat politik serta cubaan salah guna badan kehakiman untuk menjatuhkan UMNO sebagai sebuah institusi,” katanya menerusi satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Mengulas lanjut, Noor Azleen turut berharap agar wibawa dan imej kredibiliti UMNO yang diketuai oleh Ahmad Zahid akan menjadi lebih baik bagi menawan semula hati para pengundi Melayu khususnya.

“Sudah pasti berdasarkan perkembangan terbaharu ini juga, Presiden UMNO telah memanfaatkan ruang dan platform yang betul melalui saluran undang-undang untuk membersihkan nama serta mengembalikan maruah beliau yang selama ini tercalar akibat pertuduhan dikenakan.

“Untuk itu, wibawa, imej serta kredibiliti UMNO yang diketuai beliau diharap akan menjadi lebih baik demi memastikan UMNO dapat kembali menawan minda dan hati orang Melayu melalui segala usaha serta ikhtiar baiknya,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.