Noraini Seru Rakyat Pilih Parti Yang Anjurkan Perpaduan, Kestabilan Dan Kemakmuran

MUAR, 5 Sept – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru rakyat di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram agar dapat memilih parti Kerajaan Perpaduan di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kawasan tersebut.

Kata Ketua Wanita UMNO Malaysia itu, Kerajaan Perpaduan mempunyai kepelbagaian parti yang sentiasa menekankan perpaduan untuk semua kaum dan bukan seperti pihak lawan yang hanya menimbulkan persepsi serta memanipulasi emosi rakyat.

“Saya ingin menyeru kepada para pengundi apabila kita membuat pilihan, pilih parti yang mempunyai kepelbagaian, yang menekankan perpaduan, kemakmuran… bukan yang berdasarkan emosi, persepsi, (dan) bukan parti yang membawa cerita-cerita yang tidak sepatutnya.

“Sampai bila kita hendak tolak politik matang… sekiranya hanya tahu memburukkan orang lain. Kita hendak ke hadapan, mahukan negeri ini terus maju dan negara ini ke hadapan.

“Kestabilan itu penting dan kita minta rakyat apabila keluar mengundi nanti pilihlah parti yang boleh bekerja, yang boleh beri khidmat dan yang boleh membawa kestabilan kepada negara dan negeri,” kata Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu kepada UMNO Online, di sini.

Justeru katanya, untuk mewujudkan kestabilan, perpaduan sesama kaum perlu utuh dan secara tidak langsung dapat mewujudkan kemakmuran bagi dinikmati oleh rakyat.

Berhubung dengan kempen PRK ini, Noraini menjelaskan beberapa gerak kerja telah dimulakan dengan sebaiknya ditambah pula dengan kerjasama yang baik daripada wanita Pakatan Harapan (PH).

Seterusnya kata Noraini, memahami cabaran yang dihadapi, beliau yakin jentera wanita BN khususnya Jalinan Rakyat (JR) dapat menjalankan tugas dengan penuh komited.

“Cabaran sudah semestinya ada tetapi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Pengerusi Perhubungan (Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin).

“Menteri Besar contohnya sendiri mempunyai komitmen yang sangat tinggi dan memastikan kita turun ke peringkat cawangan-cawangan bagi menerangkan apa jua persoalan yang timbul. Ini pertama kali… pasti ada cabaran, persoalan dan tugasan JR ini adalah untuk menerangkan kepada pengundi-pengundi terutama kepada ahli-ahli UMNO mengapa keperluan untuk menyokong calon daripada Pakatan Harapan,” katanya.

Ujarnya lagi, 19 buah parti di dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai kekuatan masing-masing dan semuanya saling bantu-membantu bagi mencapai kemenangan.

Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi tersebut berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Dua PRK itu menyaksikan calon PH bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan iaitu Suhaizan Kayat di Parlimen Pulai dan Nazri Abdul Rahman bagi DUN Simpang Jeram, dengan kedua-dua mereka berdepan saingan tiga penjuru daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos lalu, manakala pengundian awal pada 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.