‘Haters’  Ahmad Zahid Akan Terus Bina Naratif Baru Rosakkan Imej Presiden Parti – KP Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim percaya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam berhubung kes yang melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membuka satu persatu apa yang berlaku selama ini.

Bagi beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Batu, keputusan itu juga memperlihatkan bahawa adanya unsur-unsur pendakwaan terpilih atau berunsur politik sebelum ini terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Semalam saya bersama rakan-rakan kepimpinan UMNO yang lain berada di Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan moral serta mengikuti keputusan hakim berhubung kes pendakwaan 47 pertuduhan yang dihadapi oleh beliau.

“Alhamdullilah keputusan telah memihak kepada presiden parti yang dibebaskan tanpa dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Gulam seterusnya menambah pihaknya percaya ‘haters’ kepada Ahmad Zahid akan membina naratif baharu dalam usaha berterusan menjatuhkan reputasi Ahamd Zahid.

“Yang pasti ‘haters’ Presiden UMNO akan merah mata, tidak puas hati serta akan cuba membina naratif baharu untuk menunjukkan presiden parti nampak bersalah walaupun keputusan mahkamah sebaliknya.

“Keputusan mahkamah yang dibuat membuktikan pendakwaan terpilih atau berunsur politik telah dikenakan kepada presiden yang sudah semestinya merosakkan reputasi dan imej  beliau. Bagi ‘haters’ Presiden, salah atau tidak itu bukan soalnya, niat serta objektif yang utama ingin dilakukan adalah ‘pembunuhan karaktor’ pemimpin utama UMNO,” ujarnya.

Memetik laporan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.