Puad Sindir Muhyiddin, Undi Suhaizan Haram… Menantu Lari Halal Pula?

KUALA LUMPUR, 4 Sept – “Cuba Muhyiddin jawab. Menantu dia lari atau berhijrah? SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) suruh dia serah diri. Maknanya dia lari. Kalau lari, hukumnya haram atau halal?

Demikian sindiran diberikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran kenyataan diberikan bekas Perdana Menteri itu berkenaan haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai ini.

Katanya, Muhyiddin pada ketika ini sudah terikut dengan cara Pas yang sebelum ini sering mengeluarkan fatwa sendiri demi keuntungan mereka.

“Justeru, jangan tutup mata sebelah bila menantu dituduh lari. Jangan buat fatwa selektif. Menantu lari halal pula.

“Muhyiddin sudah ada kelayakan menghukum. Menurutnya siapa undi Suhaizan hukumnya haram. Muhyiddin terikut ikut budaya Pas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam ceramah Perdana di Pulai didakwa meletakkan hukum haram bagi mereka yang mengundi Suhaizan.

“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan, bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun. Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana,” katanya.

Selain Parlimen Pulai, PRK juga dilakukan di Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.