Presiden UMNO Dilepas 47 Pertuduhan, UMNO Kelantan Ajak Akar Umbi Terus Teguh Lawan Kebatilan

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan kesemua 47 pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengajak akar umbi UMNO agar terus teguh dan mempertahankan kebenaran serta melawan fitnah musuh.

“Sesungguhnya keputusan ini menginsafkan seluruh ahli UMNO Kelantan untuk terus istiqamah melawan fitnah-fitnah musuh dan terus meyakini bahawasanya kebenaran akan sentiasa mengatasi kebatilan.

“Keputusan hari ini jelas membongkarkan agenda jahat daripada puak tertentu sebelum ini yang sengaja mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pimpinan UMNO.

“UMNO Kelantan berharap agar institusi kehakiman menjadi benteng kepada sistem keadilan negara di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia ini bebas daripada segala pendakwaan politik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang menjelaskan UMNO sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dan yakin dengan firman Allah.

“Sebagai sebuah parti Melayu yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, kami yakin kepada firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat 54; Mereka merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.