Pengundi Cina Di Pulai Perlu Sokong Suhaizan – Ahmad Zahid
JOHOR BAHRU, 4 Sept – Pengundi Cina diharap terus menyokong calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat sebagaimana yang pernah diberikan kepada penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 9 Sept ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana Suhaizan merupakan calon yang baik dan boleh memberi perkhidmatan terbaik untuk warga Pulai kerana beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Salahuddin.
“Saya tahu sokongan orang Cina kepada Allahyarham cukup besar, cukup kuat. Saya mahu kali ini Suhaizan juga dapat sokongan daripada pengundi-pengundi Cina di Pulai ini. Dulu dia lawan BN, BN lawan dia, dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan sudah jadi kawan, buat apa kita lawan? Sekarang kita Kerajaan Perpaduan.
“Orang Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak beliau akan tolong. Saya bagi tahu dia tolong semua bangsa kerana kita buta warna. Kalau tidak cukup peruntukan, boleh minta bantuan saya,” kata Timbalan Perdana Menteri itu ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pertubuhan Penganut Kuan Yin Taman Perling di Tokong Guan Yin di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri serta Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengumumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM500,000 untuk bangunan tambahan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Chai di sini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata Liew, yang juga Pengerusi DAP Johor, sebelum ini telah membuat permohonan sebanyak RM4 juta untuk pembangunan sekolah tersebut.
“Saudara Liew maklumkan beliau sudah minta supaya pengundi Cina di Pulai mesti turun sekurang-kurangnya 70 peratus pada 9 Sept ini. Ini bukan kempen untuk BN. Sekarang kita kawan, kita mahu Kerajaan Perpaduan di Johor dan Putrajaya. Kerajaan terkuat di Malaysia,” katanya.
Beliau juga berkata BN akan terus menyokong PH bagi memastikan kerajaan terus stabil daripada segi ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan yang baik.
Parlimen Pulai mempunyai sejumlah 166,653 pemilih berdaftar dan 40.46 peratus atau 67,434 orang adalah pengundi Cina.
Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan, calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi. – BERNAMA