Keputusan Mahkamah Tinggi Kemenangan Penuh Bermakna Buat Presiden Dan UMNO – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menganggap keputusan Mahmakah Tinggi hari ini merupakan kemenangan yang penuh bermakna kepada Presiden UMNO dan juga parti apabila selama ini terpaksa berdepan dengan pelbagai tomahan dan kecaman.

Malah katanya, kemenangan ini lebih bererti apabila pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwaraya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar telah memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan semua prosiding terhadap beliau.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana doa seluruh kepimpinan dan ahli-ahli UMNO selama ini telah dimakbulkan dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini telah melepaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Ujar Wan Rosdy lagi, Menerusi keputusan Jabatan Peguam Negara ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa tuduhan dan pendakwaan yang dikenakan ke atas Ahmad Zahid selama ini adalah satu penganiayaan yang bermotifkan politik semata-mata.

“Saya mengharapkan agar pendakwaan-pendakwaan seperti ini tidak lagi berlaku selepas ini bagi memperlihatkan ketelusan sistem institusi perundangan negara diperkukuhkan.

“Saya juga berharap, Jabatan Peguam Negara perlu menjadi satu badan yang bebas dan berlaku adil kepada semua pihak demi kesejahteraan negara ini.”

Terdahulu dilaporkan, Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.