Keputusan Mahkamah Tinggi Beri Pengajaran, Sistem Keadilan Mesti Sentiasa Dipertahan – Saarani

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini sewajarnya memberi pengajaran kepada semua pihak betapa insitusi kehakiman yang selama ini menjadi tunjang sistem keadilan dan keamanan mesti sentiasa dipertahankan daripada menjadi perkakas politik.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Dalam hal ini, Saarani memaklumkan bahawa Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menzahirkan kesyukuran atas keputusan tersebut.

“Keputusan mahkamah itu sekaligus menggambarkan natijah yang besar atas segala ujian getir dihadapi Datuk Seri Zahid selama lebih lima tahun dalam berjuang membersihkan dirinya daripada percaturan pendakwaan politik yang sengaja dikenakan ke atas beliau,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.

Jelasnya, mengambil kira 11 alasan menghentikan pendakwaan ke atas semua pertuduhan tersebut, sudah tiba masanya kredibiliti institusi perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara dan SPRM kembali dijernihkan setelah terdedahnya satu persatu eleman campur tangan bermotif politik dalam kes berkenaan.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendirian bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia perlu menjadi teladan dengan memberi kebebasan sepenuhnya kepada institusi perundangan dalam menegakkan keadilan agar episod hitam pendakwaan politik tidak lagi berulang.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.