Kekuatan Baharu Buat UMNO, Pemulihan Imej Daripada Tohmahan Dan Tuduhan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal membawa lembaran baharu kepada parti ini.

Jelas beliau, keputusan tersebut penting kepada imej parti yang sebelum ini berhadapan dengan pelbagai persepsi daripada pihak lawan.

“Menghormati keputusan mahkamah, secara peribadi saya daripada awal merasakan apa yang dituduh kepada Presiden adalah tuduhan yang tidak berasas.

“Merasa lega akhirnya perkara ini selesai dan bolehlah kita meneruskan dengan imej Presiden dan parti tentunya menjadi positif daripada tohmahan dan tuduhan yang dibuat oleh pihak yang tidak suka kepada kami.

“Malah saya sendiri sebelum ini pernah menjadi mangsa kepada pendakwaan terpilih ini, kes saya juga sudah selesai dan dibebas dan dilepas. Saya dalam tempoh dua tahun itu, betapa seksanya hidup yang dikenakan tuduhan sedemikian rupa, begitu juga Tan Sri Shahrir Samad,” katanya menerusi sidang media yang diadakan hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan dalam pada itu juga berharap pendakwaan terpilih lain termasuk yang dikenakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya juga mempunyai keyakinan terhadap beliau yang juga menerima nasib sama yang berniat tidak baik kepada pemimpin dan bekas pemimpin UMNO.

“Kita harap ada sesuatu yang baik dengan keadilan dibuktikan bahawa sebenarnya perkara tidak sepatutnya dikenakan akhirnya sudah jelas dan nyata.

“Perkara sebegini patut dielak pada masa akan datang, jangan dilakukan pendakwaan politik terpilih seperti ini dan apa yang terkesan kepada kami sehingga orang meninggalkan UMNO,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa membebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.